Kempen Global Asbestos Berjaya di Brazil

Mahkamah Agung Brazil telah mengesahkan bahawa pengharaman terhadap asbestos yang dikuatkuasakan di Brazil pada 2017 turut merangkumi aktiviti perlombongan asbestos untuk tujuan eksport. Kini, Brazil menyertai Kanada sebagai sebuah negara yang dahulunya merupakan pengeluar utama asbestos krisotil dalam mengharamkan perlombongan, eksport, penggunaan, atau pembuatan bahan yang mengandungi asbestos jenis itu. Susulan keputusan ini, hanya Rusia, Kazakhstan, dan China kekal sebagai pengeluar utama asbestos krisotil.

Dalam satu keputusan sebulat suara, Mahkamah Agung memutuskan bahawa undang-undang negeri Goias 2019 yang membenarkan aktiviti perlombongan asbestos diteruskan adalah tidak berperlembagaan dan bercanggah dengan larangan peringkat kebangsaan yang telah ditetapkan oleh mahkamah pada 2017. Seperti yang dilaporkan oleh International Ban Asbestos Secretariat (IBAS), keputusan ini mengesahkan bahawa pengharaman terhadap asbestos adalah mutlak dan tidak boleh dilanggar, dan mengisytiharkan undang-undang negeri Goias itu sebagai tidak berperlembagaan.

Bercakap kepada International Ban Asbestos Secretariat (IBAS), Fernanda Giannasi, Pengasas bersama Brazilian Association of the Asbestos-Exposed (ABREA), berkata: “Penderitaan kami telah berakhir. Ini merupakan satu kemenangan hasil daripada perjuangan gigih dan tabah oleh mangsa-mangsa asbestos serta entiti-entiti yang bersatu demi tujuan ini… Sementara kita meraikan kejayaan yang dicapai dengan susah payah ini iaitu pengharaman mutlak terhadap asbestos, sejenis serat yang membawa maut, kita juga meratapi nasib ribuan mangsa yang kehilangan nyawa lebih awal akibat sikap tidak bertanggungjawab syarikat-syarikat dalam rantaian pengeluaran yang luas bagi mineral penyebab kanser ini.”

Dalam kenyataan yang turut disampaikan kepada IBAS, Adriana Augusta de Moura Souza, Presiden National Association of Labour Prosecutors (ANPT), menyatakan bahawa keputusan mahkamah itu mengesahkan semula komitmen Brazil dalam mengiktiraf bahaya asbestos serta melindungi orang ramai daripada kesannya: “Kita sedang membicarakan mengenai suatu bahan (asbestos) yang diiktiraf sebagai berbahaya, serta satu isu yang secara langsung melibatkan nyawa, integriti, dan perlindungan individu yang bekerja dengannya. ANPT sentiasa berpegang pada prinsip bahawa kepentingan ekonomi tidak boleh mengatasi hak-hak asasi. Keputusan ini mengukuhkan semula komitmen itu dan selaras dengan norma serta garis panduan antarabangsa yang mewajibkan langkah pencegahan apabila wujud pendedahan kepada agen yang terbukti berisiko, seperti asbestos.”

Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyanjung usaha gigih mangsa, aktivis, dan organisasi sekutu di Brazil yang mana ketabahan mereka telah membolehkan kejayaan ini dicapai. Perjuangan mereka mencerminkan pengalaman komuniti di seluruh dunia yang menderita akibat pendedahan kepada asbestos. Malaysia perlu mengambil iktibar daripadanya. Asbestos telah terbukti sebagai bahan karsinogen (penyebab kanser), dan sebarang penggunaan atau perdagangan yang berterusan hanya akan mengekalkan kemudaratan yang sebenarnya boleh dicegah. CAP menggesa kerajaan Malaysia untuk menguatkuasakan pengharaman menyeluruh dan memastikan asbestos dihapuskan daripada semua rantaian bekalan.

Union Aid Abroad-APHEDA menyanjung usaha dan kerja keras selama bertahun-tahun oleh para aktivis serta individu yang terjejas akibat asbestos di Brazil dan di seluruh dunia yang telah membawa kepada hasil ini; mereka menyatakan bahawa tanpa kerja keras itu, keputusan ini tidak mungkin dapat dicapai. Dalam mesej tahniahnya, Union Aid Abroad–APHEDA menyifatkan keputusan itu sebagai satu kemenangan yang luar biasa, malah menggambarkannya sebagai satu lagi langkah yang memacu pengakhiran kepada pengeluaran asbestos di peringkat global.

Malah, keputusan ini bukan sahaja satu kejayaan bagi Brazil, malah menjadi mercu tanda bagi keadilan sejagat.

Laporan asal oleh Union Aid Abroad–APHEDA boleh didapati di sini:
https://apheda.org.au/global-asbestos-campaign-wins-in-brazil/