Laporan global baharu mendapati bank-bank utama Malaysia mencatatkan skor tinggi dalam dasar kemampanan; namun masalah jerebu teruk mencetuskan desakan bagi peraturan untuk mewujudkan medan persaingan yang saksama

KUALA LUMPUR, 15 Oktober 2026 – Empat dekad janji kosong sejak 1982 telah memuncak kepada krisis jerebu rentas sempadan hari ini, sekali gus mendedahkan bagaimana rangka kerja sukarela hanya melindungi penguatkuasaan yang lemah sambil menyemarakkan lagi pengembangan ladang monokultur berskala besar yang memusnahkan alam sekitar. Kecemasan ekologi ini menuntut tindak balas yang bersifat sistemik. Namun, sektor kewangan seperti yang didedahkan oleh laporan baharu gabungan global Forests & Finance terus membiayai faktor-faktor utama yang mencetuskan krisis di Asia Tenggara, iaitu penebangan hutan, kemerosotan tanah gambut, dan pencabulan hak komuniti, keadaan ini menyerlahkan keperluan mendesak bagi peraturan kewangan yang lebih ketat.

Diterbitkan hanya beberapa hari sebelum kerajaan-kerajaan dunia berkumpul di Armenia bagi Persidangan Biodiversiti PBB (COP17), laporan Banking on Biodiversity Collapse 2026 merupakan analisis global paling komprehensif setakat ini mengenai pembiayaan yang menjejaskan biodiversiti. Laporan ini meneliti pembiayaan bagi syarikat-syarikat yang beroperasi di kawasan hutan tropika dunia di Asia Tenggara, Amerika Selatan, serta Afrika Tengah dan Barat dengan matlamat untuk mengaitkan keputusan pembiayaan dengan impak sebenar di lapangan serta merapatkan jurang akauntabiliti yang membolehkan bank terus membiayai aktiviti yang membawa kemudaratan.

Di peringkat global, bank-bank telah menyalurkan kredit berjumlah AS$531 bilion kepada syarikat yang beroperasi dalam sektor agrokomoditi tropika berisiko tinggi sejak 2016. Bank-bank utama Malaysia, CIMB dan Maybank, merupakan antara pemberi pinjaman terbesar bagi sektor agrokomoditi di Asia Tenggara, dengan jumlah pinjaman terkumpul hampir AS$12 bilion sepanjang dekad yang lalu.

Purata skor bagi polisi bank yang meliputi pembiayaan bagi agrokomoditi berisiko terhadap hutan hanyalah 25%; ini menunjukkan bahawa kebanyakan bank mempunyai langkah perlindungan yang minimum, komitmen awam yang samar, serta jurang pelaksanaan yang ketara. Memandangkan piawaian yang rendah dan ketiadaan penguatkuasaan kawal selia, tidak menghairankan bahawa bank terus membiayai syarikat yang beroperasi dalam sektor yang dikaitkan dengan penebangan hutan, kemusnahan tanah gambut, kebakaran, jerebu, dan pencabulan hak masyarakat orang asli dan orang asal.

Walaupun institusi kewangan terbesar Malaysia mencatatkan skor melebihi purata dalam penilaian polisi kemampanan dengan CIMB memperoleh 45% dan Maybank 32%, komitmen mereka tidak bersifat mengikat. Keadaan semasa berisiko mencetuskan fenomena ‘persaingan ke tahap terendah’, di mana syarikat secara aktif mencari pembiaya yang mengenakan piawaian alam sekitar paling longgar. Hanya peraturan mandatori yang mampu mewujudkan keadaan persaingan yang saksama bagi institusi kewangan.

Oleh itu, gabungan Forests and Finance menggesa pengawal selia kewangan, termasuk Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti, untuk memperkukuh dasar dengan mewajibkan institusi kewangan menjalankan usaha wajar yang mantap berkaitan biodiversiti dan hak asasi manusia, meningkatkan ketelusan mengenai pembiayaan bagi sektor berisiko tinggi, serta memastikan institusi kewangan dipertanggungjawabkan apabila pembiayaan mereka menyumbang kepada kemusnahan alam sekitar atau pencabulan hak.

Sama seperti isu iklim, hak komuniti dan biodiversiti wajar ditangani melalui pendekatan yang lebih berasaskan peraturan. Inisiatif korporat secara sukarela seperti Taskforce on Nature-related Financial Disclosures (TNFD) tidak memadai untuk melaporkan risiko dan impak terhadap hutan serta komuniti, malah ia tidak menjamin pelaksanaan usaha wajar atau penguatkuasaan yang sewajarnya. Sebarang inisiatif masa depan untuk memperbaharui peraturan kewangan harus melibatkan secara aktif pertubuhan masyarakat sivil yang memperjuangkan hak masyarakat orang asal dan pemeliharaan hutan.

Gabungan ini juga menggesa pihak bank supaya memperkukuh keperluan berkaitan dasar tanpa penebangan hutan atau penukaran guna tanah, tanpa pembangunan tanah gambut, dan tanpa eksploitasi (NDPE); melakukan pengesahan bebas terhadap pematuhan pelanggan; serta menamatkan hubungan pembiayaan dengan syarikat yang berulang kali melanggar piawaian itu.

Laporan ini dihasilkan oleh gabungan Forests & Finance, iaitu satu inisiatif yang melibatkan Rainforest Action Network, TuK Indonesia, Profundo, Amazon Watch, Milieudefensie, CED Cameroon, Repórter Brasil, Observatório da Mineração, BankTrack, Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Friends of the Earth US.

 

 

Meenakshi Raman
Presiden
Sahabat Alam Malaysia

Kenyataan Media, 15 Oktober 2026

 

Pautan:

1. Laporan Banking on Biodiversity Collapse 2026 boleh didapati di www.forestsandfinance.org/bobc2026
Siaran akhbar global boleh didapati di https://docs.google.com/document/d/1-z9KsTPtO5kmi6Fuqx_boL5U0bq5Q6CAQsB1JGyyEL8/edit?tab=t.0