Kenyataan Persidangan
Mengapakah Asia menjadi rantau terakhir di dunia yang belum menghentikan import asbestos toksik yang digunakan dalam pembuatan dalam jumlah yang ketara?
Apakah harga yang perlu dibayar dari segi kesihatan awam, ekonomi, dan alam sekitar?
Malaysia digesa untuk segera melaksanakan pengharaman import asbestos sebagai perkara yang mendesak.
Kuala Lumpur, 21 Oktober 2026: Asian Ban Asbestos Network (A-BAN), yang merangkumi pelbagai organisasi di Malaysia serta 16 negara lain di seluruh rantau Asia Pasifik berkumpul di Kuala Lumpur pada 20 dan 21 Oktober bagi menghadiri Persidangan Asia Pasifik A-BAN yang bertema ‘Manfaatkan Momentum, Haramkan Asbestos di Mana-mana’.
Pertemuan itu mengambil maklum mengenai pengumuman penting oleh Kerajaan di rantau Asia Pasifik sejak enam bulan lalu untuk meninggalkan penggunaan asbestos, beralih kepada bahan alternatif yang lebih selamat, serta mengurangkan penyakit yang berkaitan dengan asbestos, negara-negara yang terlibat termasuklah Filipina, Indonesia, Kemboja, Malaysia, dan Fiji, menyusuli pengumuman terdahulu daripada Vietnam dan Laos. Turut dicatat ialah ketetapan Bank Pembangunan Asia (ADB) untuk melarang penggunaan bahan yang mengandungi asbestos dalam semua pelaburan baharu bermula Januari 2026, serta pengharaman sepenuhnya terhadap asbestos yang diumumkan oleh Mahkamah Agung Brazil pada Oktober 2026.
Mesyuarat ini menggesa:
- Kerajaan Malaysia supaya segera melaksanakan pengharaman sepenuhnya terhadap pengimportan semua jenis serat asbestos termasuk krisotil ke dalam negara. Rangkaian ini juga menggesa agar produk pengguna yang mengandungi asbestos dihapuskan secara berperingkat dengan kadar segera.
- Syarikat-syarikat pembinaan di seluruh rantau ini supaya mengikuti langkah syarikat-syarikat di lebih 75 negara dan wilayah lain yang telah melarang penggunaan bahan yang mengandungi asbestos dan beralih kepada bahan alternatif yang lebih selamat; langkah ini bertujuan untuk menghentikan pendedahan serta menyelamatkan nyawa pekerja dan orang awam pada dekad-dekad akan datang.
- Industri asbestos supaya segera menghentikan tindakan mengugut pegawai kerajaan dan pejuang kesihatan dalam usaha mereka secara terang-terangan untuk campur tangan dalam dasar negara, melengahkan peraturan kesihatan dan keselamatan, serta membungkam suara pihak yang memberi amaran kepada pekerja dan orang awam mengenai risiko pendedahan terhadap bahan ini.
- Semua kerajaan yang masih membenarkan pengimportan dan penggunaan asbestos serta bahan yang mengandungi asbestos supaya tidak menghiraukan maklumat palsu daripada pihak yang mengaut keuntungan hasil penjualan krisotil asbestos, sejenis asbestos yang dikategorikan sebagai karsinogen Kelas 1, dan kerajaan digesa untuk mengikuti saranan serta nasihat daripada WHO dan ILO, dan mencontohi langkah 75 negara dan wilayah lain dengan beralih kepada bahan yang lebih selamat memandangkan ini merupakan cara paling berkesan untuk menghapuskan penyakit berkaitan asbestos serta memastikan pemberian pampasan yang adil kepada mangsa yang menghidap penyakit akibat asbestos.
- International Finance Corporation (IFC) dan Bank Dunia perlu segera melarang penggunaan bahan yang mengandungi asbestos dalam pelaburan yang disokong oleh mereka.
- Pihak-pihak kepada Konvensyen Rotterdam yang prihatin terhadap tindakan pihak berkepentingan industri yang telah menghalang penyenaraian asbestos krisotil selama 20 tahun (bersama senarai bahan kimia lain yang semakin bertambah), supaya bekerjasama mencari penyelesaian bagi memastikan maklumat mengenai bahaya dan kesihatan berkaitan bahan kimia yang disyorkan seperti asbestos krisotil dapat diakses oleh negara-negara berpendapatan rendah dan ekonomi yang sedang dalam peralihan.
Mesyuarat ini juga memberikan penghargaan kepada
- Para pendukung kesihatan dan aktivis sama ada dalam kesatuan sekerja, masyarakat sivil, mahupun kerajaan yang dengan berani bangkit menentang ugutan dan ancaman pihak industri di seluruh rantau ini, demi usaha melindungi kesihatan awam serta pekerja yang berisiko.
Mesyuarat ini mengiktiraf dan menyokong gerakan kesatuan sekerja serantau Asia Pasifik, melalui ITUC-AP, yang akan menganjurkan mesyuarat serantau mengenai asbestos di Jakarta, Indonesia pada 23 dan 24 Oktober 2026 untuk:
- Membina solidariti dan hubungan, serta berkongsi strategi pengorganisasian antara kesatuan sekerja dan pihak yang berkempen untuk mengharamkan asbestos, baik di peringkat serantau mahupun global.
- Menggalakkan tindakan oleh kerajaan di peringkat tempatan, nasional, serantau, dan global untuk beralih keluar daripada penggunaan asbestos serta meningkatkan perlindungan terhadap pekerja.
- Memberikan sokongan kepada kempen peralihan daripada asbestos di Indonesia, pada masa pihak yang menyokong asbestos sedang giat menyebarkan maklumat salah kepada kerajaan mengenai ketoksikan asbestos serta cuba mempengaruhi dasar kerajaan.
Solidariti global dan serantau dalam kalangan pekerja, kesatuan sekerja mereka, masyarakat sivil, serta pakar kesihatan dan alam sekitar adalah amat penting bagi menamatkan perdagangan produk yang membawa maut ini, serta menghentikan kemusnahan yang ditimbulkannya terhadap komuniti.
Maklumat lanjut
Asbestos ialah sekumpulan mineral silikat yang wujud secara semula jadi, terdiri daripada serat panjang dan halus. Bahan ini digunakan secara meluas pada abad yang lalu dalam pembinaan dan pelbagai produk lain, sehinggalah kesan buruknya terhadap kesihatan yang boleh membawa maut menjadi jelas.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) telah menyatakan bahawa tiada tahap pendedahan yang selamat terhadap serat asbestos. Asbestos dikelaskan sebagai karsinogen Kumpulan I oleh Agensi Antarabangsa untuk Penyelidikan Kanser (IARC) dan menjadi punca kepada lebih 200,000 kematian setiap tahun di seluruh dunia.
Terdapat bukti yang jelas dan tidak dapat disangkal lagi mengenai risiko kanser serta penyakit lain yang dikaitkan dengan pendedahan kepada gentian asbestos di dalam paru-paru. Menurut ILO, gentian ini sahaja merupakan punca kepada 70% daripada kes kanser berkaitan pekerjaan di peringkat global.
Walaupun sebahagian besar dunia telah berhenti menggunakan serat asbestos dalam pembuatan, pada 2023, sebanyak 94% daripada import global serat asbestos iaitu satu angka yang mengejutkan ini telah dihantar ke Asia.
Para pekerja terus berdepan dengan risiko serius akibat pendedahan kepada asbestos, terutamanya dalam pembuatan produk berasaskan asbestos, kerja-kerja penyingkiran dan perobohan bangunan, penyelenggaraan bangunan, pengangkutan, pembongkaran kapal, pengendalian sisa, serta dalam situasi bencana. Risiko pendedahan dan penyakit ini menjejaskan pekerja dalam sektor formal mahupun tidak formal, termasuk pekerja migran, wanita, lelaki, serta kanak-kanak.
Penyakit yang berkaitan dengan asbestos antara lain termasuklah kanser paru-paru yang paling kerap berlaku, mesotelioma, kanser ovari, kanser larinks, dan asbestosis. Tiada penawar bagi penyakit-penyakit yang berkaitan dengan asbestos. Semua penyakit yang berpunca daripada pendedahan kepada asbestos ini sebenarnya boleh dicegah; cara paling berkesan untuk mencegahnya adalah dengan menghentikan penggunaan semua bentuk asbestos bagi mengelakkan pendedahan.


