
Berhati-hatilah apabila membeli produk pencerah kulit buatan Pakistan secara dalam talian. Sebuah kumpulan pemantau bahan toksik di Filipina setakat ini telah menemui 60 produk seumpama itu yang mengandungi merkuri toksik.
Menurut Ecowaste Coalition, siri ujian terbaharunya mendapati 6 jenis krim muka buatan Pakistan yang dijual secara dalam talian termasuk krim pemutih mengandungi merkuri dengan kadar mencecah hampir 50,000 bahagian per sejuta (bps).
Biocos Belle Visage Vitamin C Whitening Cream menduduki senarai teratas dengan kandungan merkuri sebanyak 48,920 bps, diikuti oleh Sia 24K Gold Beauty Cream (17,740 bps), Maha Rani Beauty Cream (16,580 bps), Cure White Fastest Beauty Cream (1,023 bps), Super White Oil Free Beauty Cream (985 bps), dan Super White Rice Collagen Beauty Cream (406 bps).
Kandungan merkuri dalam kesemua 6 produk yang dinyatakan di atas adalah jauh melebihi had maksimum 1 bps yang ditetapkan di bawah Arahan Kosmetik ASEAN (ACD), serta piawaian keselamatan Pakistan sendiri bagi merkuri.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), “Kesan buruk terhadap kesihatan akibat merkuri bukan organik yang terkandung dalam krim dan sabun pencerah kulit termasuk: kerosakan buah pinggang, ruam kulit, perubahan warna kulit dan parut, penurunan daya tahan kulit terhadap jangkitan bakteria dan kulat, keresahan, kemurungan, psikosis, serta neuropati periferal.”
Terimalah warna kulit semula jadi anda. Jangan terpengaruh dengan iklan yang menyamakan krim pencerah kulit dengan kecantikan, status, dan kejayaan. Label yang menggalakkan anda untuk memiliki kulit yang lebih cerah merupakan mesej budaya yang bersifat perkauman.
“Usaha untuk mendapatkan tona kulit yang lebih cerah menyemarakkan perdagangan berbahaya produk kosmetik yang mengandungi merkuri; iaitu meracuni kesihatan manusia dan juga planet kita. Ini sesuatu yang tidak boleh diterima,” kata Aileen Lucero, Penyelaras Kebangsaan EcoWaste Coalition, sebuah pertubuhan yang telah memantau kandungan merkuri dalam produk pencerah kulit sejak 2011.
“Hentikan amalan kecantikan yang bersifat perkauman dan toksik sekarang.”
Pengharaman Global terhadap Merkuri Tidak Dikuatkuasakan
Konvensyen Minamata mengenai Merkuri, yang diratifikasi oleh Pakistan dan Filipina pada 2020, secara jelas melarang penggunaan merkuri dalam produk kosmetik, termasuk krim dan sabun pencerah kulit. Perjanjian itu pada asalnya menetapkan 2020 sebagai tarikh akhir yang melarang pembuatan, pengimportan, atau pengeksportan produk kosmetik yang mengandungi merkuri. Pada 2023, Persidangan Pihak-Pihak (COP) telah meminda tarikh penamatan penggunaan itu kepada 2025.

“Memandangkan 2026 semakin menghampiri, kelompangan dalam penguatkuasaan membolehkan perdagangan produk kosmetik terlarang yang mengandungi merkuri terus berlaku,” kata Aileen Lucero. “Pengharaman global tidak membawa sebarang makna tanpa penguatkuasaan yang sebenar. Jika ia tidak dikuatkuasakan sekarang, bilakah lagi?” tambahnya.
Menurut Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP): “Pihak-pihak (dalam Konvensyen Minamata) mestilah menguatkuasakan peraturan yang melarang produk kosmetik yang mengandungi merkuri, di samping menggalakkan penyediaan alternatif yang selamat dan berkesan.”
“Kerjasama antara pengeluar kosmetik, peruncit, agensi perlindungan pengguna, dan pihak berkuasa kawal selia adalah kunci untuk memastikan pematuhan serta menghapuskan merkuri daripada produk kosmetik. Konvensyen ini juga menggalakkan kolaborasi antarabangsa bagi memperkukuh penguatkuasaan terhadap pengeluaran dan perdagangan haram kosmetik yang mengandungi merkuri.”
Untuk melindungi kesihatan awam dan alam sekitar daripada kosmetik yang ditambah dengan merkuri, EcoWaste Coalition, dalam satu siaran akhbar pada 19 November 2026, menggesa kerajaan untuk menguatkuasakan pengharaman global di bawah Konvensyen Minamata; mewujudkan kerjasama penguatkuasaan undang-undang antarabangsa; menutup kelompangan undang-undang; mengenakan penalti yang tegas; memastikan platform e-dagang dan media sosial bertanggungjawab; menyingkirkan bahan toksik daripada kosmetik serta mengubah persepsi kecantikan yang ideal; dan menjalankan kempen bagi mencabar diskriminasi warna kulit untuk mengurangkan permintaan terhadap produk pemutih kulit serta menggalakkan penerimaan terhadap tona kulit semula jadi.

