“AI Mungkin Terlepas daripada Kawalan Manusia dalam Tempoh Beberapa Tahun Akan Datang, kata ‘Bapa’ AI”

Gambar: Electrical Technology

Dalam satu temu bual baru-baru ini menerusi audio siar One Decision, saintis komputer pemenang Hadiah Nobel, Geoffrey Hinton yang secara meluas dianggap sebagai salah seorang perintis kecerdasan buatan (AI) moden telah memberi amaran bahawa sistem AI masa depan mungkin mula berfikir dengan cara yang tidak lagi dapat difahami oleh manusia.

Pada masa ini, banyak model bahasa berskala besar memproses maklumat melalui kaedah yang sebahagiannya boleh diperiksa dan dipantau oleh para penyelidik. Walau bagaimanapun, Hinton percaya bahawa AI masa depan boleh membangunkan kaedah penaakulan dalamannya sendiri, atau malah mencipta bahasanya sendiri untuk berkomunikasi dengan sistem AI yang lain.

Jika perkara ini berlaku, manusia mungkin tidak akan mengetahui apa yang sedang dibincangkan oleh sistem-sistem itu ataupun bagaimana ia membuat keputusan.

Menurut Hinton, kemungkinan ini menjadi amat membimbangkan sekiranya AI berkembang  menjadi lebih bijak daripada manusia. Beliau menjelaskan bahawa mesin akhirnya boleh menyelesaikan masalah, merangka pelan, dan memproses maklumat dengan cara yang jauh melangkaui pemahaman kita.

Sementara ini boleh membawa kepada pencapaian saintifik dan teknologi yang luar biasa, ia juga boleh mewujudkan sistem yang tidak lagi mampu diawasi atau dikawal oleh manusia.

Hinton sebelum ini telah memberi amaran bahawa AI yang canggih mungkin memanipulasi manusia, menyebarkan maklumat yang salah, atau membuat keputusan yang memudaratkan masyarakat. Dalam temu bual audio siar itu, beliau menyatakan bahawa beliau tidak akan terkejut sekiranya AI akhirnya membangunkan cara pemikirannya sendiri yang tidak dapat ditafsirkan oleh manusia.

Jika manusia tidak dapat memahami bagaimana AI mencapai sesuatu kesimpulan, membetulkan kesilapan atau mencegah tingkah laku yang berisiko akan menjadi jauh lebih sukar.

Beliau menyamakan kebangkitan kecerdasan buatan dengan Revolusi Perindustrian,  menyatakan bahawa kesannya mungkin jauh lebih besar. Revolusi Perindustrian melahirkan mesin yang dari segi fizikalnya lebih kuat daripada manusia. Walau bagaimanapun, AI berpotensi menjadi lebih bijak daripada manusia dari segi mental.

Menurut Hinton, masyarakat belum pernah berdepan dengan teknologi yang berpotensi mengatasi keupayaan intelektual manusia, sekali gus menjadikan kesan jangka panjangnya sukar untuk diramal.

Walaupun beliau telah memberikan amaran, Hinton sebenarnya tidak menentang kecerdasan buatan itu sendiri. Beliau percaya bahawa AI mampu membawa manfaat yang sangat besar kepada bidang perubatan, sains, pendidikan, dan pelbagai bidang lain.

Walau bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa para penyelidik dan kerajaan mestilah mencari kaedah yang boleh dipercayai bagi memastikan sistem AI pada masa hadapan sentiasa bertindak demi kepentingan terbaik manusia. Pada masa ini, tiada sesiapa pun yang benar-benar tahu bagaimana untuk menjamin perkara itu.

Kebimbangan beliau timbul memandangkan AI terus berkembang dengan kepantasan yang luar biasa. Syarikat teknologi melaburkan berbilion dolar untuk membina model AI yang lebih berkuasa, sementara kerajaan di seluruh dunia pula sedang merangka dasar baharu bagi menguruskan teknologi itu.

Hinton percaya bahawa cabaran terbesar bukanlah sekadar menjadikan AI lebih pintar, sebaliknya memastikan manusia kekal mampu untuk memahami, membimbing, dan mengawalnya dengan selamat memandangkan ia menjadi semakin berkuasa.

Sumber: Engineering & Science


“Manusia Mungkin Lebih Baik Tanpa AI”

Geoffrey Hinton baru-baru ini menyatakan bahawa manusia mungkin sebenarnya lebih baik jika kecerdasan buatan tidak pernah dibangunkan.

Beliau berkata AI mempunyai potensi yang sangat besar untuk mewujudkan masa depan yang lebih makmur, namun pembangunan yang tidak diurus dengan baik boleh mengakibatkan pengangguran secara besar-besaran, ketidaksamaan yang lebih ketara, serta gangguan sosial yang serius.

Hinton juga memberi amaran bahawa satu insiden besar yang berkaitan dengan AI boleh berlaku seawal tahun ini atau tahun depan, yang berpotensi mengganggu bekalan elektrik atau sistem kewangan. Beliau menyamakan kemungkinan berlakunya peristiwa seperti itu dengan bagaimana kemalangan nuklear besar-besaran telah memaksa masyarakat untuk berdepan dengan risiko teknologi.

Beliau berhujah bahawa syarikat AI tidak sepatutnya bergantung semata-mata kepada kawal selia kendiri secara sukarela. Hinton menyokong pelaksanaan ujian keselamatan bebas yang diwajibkan terhadap model AI canggih sebelum ia dilancarkan, sama dari segi prinsip dengan bagaimana cara ubat-ubatan dinilai, di samping mewujudkan piawaian dan kerjasama antarabangsa yang lebih kukuh.

Walaupun beliau bimbang, beliau menyatakan bahawa manusia mungkin masih mampu memegang kawalan sekiranya kerajaan dan syarikat berusaha bersungguh-sungguh untuk menguruskan risiko-risiko yang ada.

Perintis AI yang terlibat dalam membangunkan teknologi ini kini memberi amaran bahawa masa depannya bergantung kepada sejauh mana kita mengawalnya dengan teliti. Adakah AI akhirnya akan membawa manfaat kepada manusia, atau mungkinkah risiko yang ditimbulkannya melebihi manfaat yang diperoleh?

Sumber: Techworm

Butiran lanjut di sini:
https://www.theguardian.com/uk-news/2026/nov/03/ai-godfather-geoffrey-hinton-better-off-without-ai


Siapakah Geoffrey Hinton?

Geoffrey Hinton ialah seorang saintis komputer British-Kanada yang penyelidikannya telah membawa perubahan besar, sekali gus membolehkan kewujudan sistem AI pada masa kini. Beliau memainkan peranan penting dalam membangunkan teknologi rangkaian saraf yang menjadi tunjang kepada banyak sistem AI terkemuka hari ini. Beliau telah menerima Hadiah Nobel dalam Fizik bagi 2024 atas sumbangan beliau dalam bidang pembelajaran mesin.

Walaupun beliau pernah berkhidmat di Google selama lebih sedekad, beliau meninggalkan syarikat itu pada 2023 supaya dapat bersuara dengan lebih terbuka mengenai risiko yang mungkin timbul daripada teknologi AI yang canggih. Beliau menyatakan bahawa faktor usia turut mempengaruhi keputusannya; dengan meninggalkan syarikat itu, beliau dapat menyuarakan kebimbangan secara terbuka mengenai perkara yang menurut beliau wajar diberi perhatian yang jauh lebih serius.

Sejak itu, beliau telah menjadi antara tokoh paling dikenali yang menggesa agar pembangunan AI dilakukan dengan lebih berhati-hati. Beliau secara lantang memberi amaran mengenai pelbagai ancaman, termasuk serangan siber yang menggunakan AI, senjata autonomi, penyebaran maklumat salah, kehilangan pekerjaan, serta kemungkinan manusia hilang kawalan ke atas sistem AI yang canggih.

Hinton menganggarkan kebarangkalian AI menjadi ancaman yang boleh mengancam kelangsungan hidup manusia adalah sekitar 10-20% dalam jangka masa panjang dan beliau juga berulang kali menggesa agar penyelidikan mengenai keselamatan AI serta peraturan berkaitan diperkukuh di peringkat antarabangsa.

Amaran beliau menjadi semakin berpengaruh memandangkan banyak syarikat kini melaburkan beratus-ratus bilion dolar ke dalam infrastruktur AI generasi akan datang serta model asas yang semakin berkuasa.

Pandangan beliau terus membentuk perbincangan global mengenai keselamatan AI, tadbir urus, dan pembangunan yang bertanggungjawab. Ramai penyelidik AI berkongsi pandangan beliau bahawa langkah keselamatan yang lebih ketat, ketelusan, dan kerjasama antarabangsa adalah amat penting seiring dengan kemajuan berterusan teknologi AI.