500 Nelayan Manjung Diancam Bot Pukat Tunda Dan Bubu Naga : CAP

Pangkalan nelayan Parit Haji Dollah, Lekir, Perak.

Kira-kira 500 nelayan pantai di enam pengkalan daerah Manjung Perak terjejas sumber pendapatan berikutan pencerobohan bot pukat tunda dan penggunaan bubu naga di kawasan tangkapan mereka yang semakin serius berlaku ketika ini.

Pengkalan-pengkalan yang terlibat ialah Parit Haji Dolah, Sungai Tiram, Kayan, Pulau Tiga, Beting Beras Basah dan Pasir Panjang.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dalam tinjauan yang dibuat difahamkan kegiatan tersebut dilakukan pada waktu malam oleh nelayan warga asing yang berpengkalan di Bagan Datuk.

Wan Senapi Wan Man

Selain membunuh dan memusnahkan benih pelbagai jenis hidupan laut di perairan ini, bot pukat tunda dan penggunaan bubu naga telah mendatangkan kerugian dan menjejaskan keselamatan nelayan pantai di daerah ini.

Seorang nelayan Wan Senapi Wan Man, 64, berkata berikutan masalah ini hidupan laut seperti ikan, udang dan ketam semakin berkurangan menyebabkan hasil tangkapan mereka merosot dari masa ke masa.

Masalah ini sudah lama berlaku tetapi tidak ada tindakan berkesan yang diambil oleh pihak berkuasa berkenaan sehingga keadaan bertambah meruncing ketika ini, jelas beliau.

Jaafar Mohamad

Jaafar Mohamad, 58, pula memberitahu, nelayan-nelayan pantai di kawasan ini bukan saja terjejas sumber pendapatan tetapi juga mengalami kerugian akibat kemusnahan alat tangkapan kerana dilanggar oleh bot pukat tunda.

Terdapat juga kejadian sampan nelayan pantai terbalik setelah melanggar tali bubu naga yang dipasang di kawasan mereka, kata Jaafar.

Seorang lagi nelayan Zaini Yaakob, 46, berharap pihak berkenaan dapat mengawal keadaan ini dengan lebih berkesan. Pemantauan lebih kerap dan tindakan tegas perlu dilakukan supaya masalah ini tidak berterusan.

Zaini Yaakob

Ia berkata aktiviti haram ini telah berlaku sejak lebih sepuluh tahun yang lalu dan bimbang jika masalah ini tidak ditangani segera kehidupan nelayan pantai dan sumber perikanan akan terjejas dengan lebih teruk lagi.

CAP kesal kerana pihak kerajaan gagal melaksanakan Akta Perikanan 1985 dengan tegas dan berkesan menyebabkan isu pencerobohan bot pukat tunda dan penggunaan bubu naga sekarang berlaku secara meluas bukan saja di Perak tetapi juga di negeri lain di utara dan di pantai timur.

Pengharaman penggunaan bubu naga perlu dikuatkuasakan dengan berkesan

Justeru itu CAP menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) campurtangan dan turun padang berjumpa nelayan-nelayan pantai yang terlibat bagi mengetahui keadaan sebenar yang berlaku dan tindakan yang harus diambil bagi menangani masalah ini.

Hasil perbincangan dengan nelayan terbabit dan tindakan yang diambil oleh MAFI, jabatan dan agensi yang terlibat perlu didedahkan kepada umum dengan secepat mungkin.

CAP percaya, ketika negara sedang mengalami masalah kekurangan bekalan makanan, kehidupan masyarakat nelayan dan pengguna akan lebih terbeban jika sumber laut terus berkurangan dan diancam kepupusan.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Kenyataan Media, 2hb Jun 2022  

Sila hulurkan sumbangan anda di https://consumer.org.my/ms/make-a-donation-malay/