Ramai orang takut dengan lebah. Dan kenapa tidak? Ia mempunyai penyengat yang lebih menyakitkan daripada yang anda jangkakan dan sesetengah orang sangat alah, malah alahan boleh membawa maut kepada mereka. Tetapi bertentangan dengan ketakutan kita, lebah bukanlah serangga yang agresif dan tidak mengejar manusia tanpa provokasi. Dan jika anda mengetahui semua yang lebah lakukan untuk anda, maka anda akan berasa gembira untuk berkongsi makanan atau minuman anda dengannya.
Berikut ialah 6 sebab untuk berterima kasih kepada lebah, dan panduan mengenai cara anda boleh menunjukkannya.
1. Ia menambah baik pemakanan kita dengan menyediakan makanan yang kaya dengan mikronutrien. Banyak makanan berkhasiat, seperti buah-buahan, beberapa sayuran, biji benih, kacang dan minyak, akan hilang tanpa pendebunga. (PANDUAN: Balas budi! Berikan lebah makanan yang ia suka dengan menanam tumbuhan asli di taman anda. Menanam pelbagai jenis tumbuhan asli yang berbunga pada masa yang berbeza dalam setahun boleh membuat perbezaan yang besar untuk pendebunga.)
2. Ia memberikan kita madu, pemanis semula jadi yang juga mempunyai sifat antibakteria dan antiseptik. Madu telah menjadi sebahagian daripada tamadun manusia selama beribu tahun. (PANDUAN: Beli madu mentah daripada petani tempatan. Ramai petani kecil tempatan dan komuniti hutan mengekalkan amalan penternakan lebah yang mampan. Anda boleh memberi sokongan dengan membeli madu mentah, lilin lebah atau produk lebah lain, terus daripada mereka.)
3. Ia mempunyai etika kerja yang hebat. Seekor lebah madu lazimnya akan mengunjungi sekitar 7,000 bunga sehari, dan memerlukan 4 juta kunjungan bunga untuk menghasilkan satu kilogram madu. (PANDUAN: Berikan ganjaran kepadanya dengan membuat pancutan air lebah. Meninggalkan mangkuk air yang bersih dan cetek, dengan batu atau kayu di dalamnya supaya lebah tidak lemas, adalah cara yang baik untuk memberikan lebah tempat berehat dan beberapa minuman yang diperlukan.)
4. Ia menjadikan makanan kita lebih sedap. Tumbuhan yang didebungakan dengan baik menghasilkan buah-buahan dan sayur-sayuran yang lebih besar, lebih seragam, lebih enak. Contohnya, epal yang cacat bermakna tumbuhan itu mempunyai pendebungaan yang tidak mencukupi atau tidak seimbang. (PANDUAN: Elakkan racun makhluk perosak, racun kulat atau racun rumpai di taman anda. Ia boleh membunuh pendebunga dan meracuni sarang dengan nektar atau debunga yang tercemar yang dibawa oleh lebah daripada tumbuhan yang tercemar. Cuba cari penyelesaian semula jadi kepada perosak untuk tumbuhan di taman anda.)
5. Ia meningkatkan pengeluaran makanan dan keterjaminan makanan. Dalam satu kajian di mana pendebungaan diurus dengan baik di ladang kecil yang pelbagai, hasil tanaman meningkat dengan median yang ketara sebanyak 24%! Lebah dan serangga pendebunga lain meningkatkan pengeluaran makanan 2 bilion petani kecil di seluruh dunia, membantu memastikan keterjaminan makanan untuk penduduk dunia. (PANDUAN untuk petani: Cipta habitat yang baik untuk lebah bagi memastikan pendebungaan. Biarkan beberapa kawasan ladang sebagai habitat semula jadi. Cipta pagar tanaman dengan tumbuhan asli yang berbunga pada masa yang berbeza sepanjang tahun dan tanam tanaman yang menarik [contohnya: bunga matahari] dan pokok buah-buahan [contohnya: mangga]. Kurangkan penggunaan racun makhluk perosak dan biarkan tapak sarang lebah tidak disentuh.)
6. Ia mengekalkan biodiversiti. Pendebungaan adalah salah satu proses alam semula jadi yang paling penting yang menyumbang kepada biodiversiti. Dan walaupun sering diabaikan, lebah dan pembiakan lebah hutan juga membantu mengekalkan ekosistem hutan kerana pendebungaan membantu penjanaan semula pokok yang seterusnya membantu memulihara biodiversiti hutan. (PANDUAN: Ketahuilah dengan lebih lanjut mengenai lebah dan atasi ketakutan anda. Dengan menyelidik makhluk ini, anda akan melihat bahawa lebah pada umumnya tidak berbahaya. Dengan pemahaman yang lebih baik, anda boleh mengelakkan pertemuan buruk dan belajar untuk hidup aman dengan makhluk yang diperlukan ini.)
– petikan yang disunting daripada artikel FAO, “Bee-ing Grateful to Our Pollinators”


