64 Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO) seluruh dunia termasuk Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan 14 kumpulan lain di rantau Asia Pasifik, menggesa 2 syarikat utama supaya menghentikan pengeluaran amalgam pergigian, produk toksik mengandungi merkuri.
Dalam surat bertarikh 22 Februari 2022, 64 CSO menulis kepada syarikat Southern Dental Industries (SDI) Australia dan Envista Holdings Corporation yang beribu pejabat di California, Amerika Syarikat supaya berhenti daripada mengeluarkan amalgam pergigian.
Pengeluar produk pergigian terbesar dunia, Dentsply Sirona, telah menghentikan pengeluaran amalgam pada 2020, sambil mengaitkan keputusan itu dengan keputusan kerajaan untuk mengehadkan penggunaan amalgam.
Penggunaan amalgam pergigian tidak dibenarkan bagi kanak-kanak di hampir 40 negara sementara sekurang-kurangnya sedozen negara telah mengeluarkan secara berperingkat amalgam sepenuhnya atau menetapkan tarikh akhir yang khusus untuk berbuat demikian. Malaysia masih belum mengumumkan tarikh tetap untuk mengeluarkan amalgam secara berperingkat tetapi telah mula mengurangkannya secara bertahap.
Pendedahan kepada merkuri mungkin mendedahkan risiko kesihatan yang lebih besar dalam kalangan kumpulan orang tertentu, yang mungkin lebih mudah terdedah kepada potensi kesan sampingan yang dikaitkan dengan merkuri. Penduduk yang berisiko tinggi ini termasuklah:
- Wanita hamil dan janin mereka yang sedang berkembang
- Wanita yang bercadang untuk hamil
- Wanita yang menyusu dan bayi mereka yang baharu lahir
- Kanak-kanak, terutama sekali mereka yang berusia di bawah 6 tahun
- Orang yang mempunyai penyakit saraf sedia ada
- Orang yang mempunyai masalah fungsi buah pinggang
- Orang yang diketahui mempunyai sensitiviti (alahan) yang tinggi kepada merkuri atau komponen lain amalgam pergigian (perak, tembaga, timah)
Kami berharap SDI dan Envista menghentikan pengeluaran amalgam pergigian dan beralih kepada membuat bahan pergigian alternatif bukan toksik agar kita boleh mencapai pergigian bebas merkuri pada masa depan.