Angkara aktiviti tangkapan haram, sumber perikanan di Perairan Kuala Muda diancam kepupusan

Anak ikan (benih) musnah ditangkap oleh nelayan bot pukat tunda.
Nelayan pantai Kuala Muda terjejas sumber pendapatan.

Lebih 1,000 nelayan pantai di empat pengkalan daerah Kuala Muda, Kedah terjejas sumber pendapatan akibat pencerobohan bot pukat tunda, aktiviti bot rawa sorong dan penggunaan bubu naga di perairan itu.

Pengkalan nelayan yang terlibat ialah Teluk Nipah, Teluk Amboi, Pulau Sayak dan Tanjung Dawai. Masalah yang sudah lama berlaku ini telah beberapa kali diadukan kepada pihak berkuasa berkenaan tetapi hingga sekarang tidak ada tindakan berkesan yang diambil.

Jika masalah ini tidak berlaku nelayan-nelayan di sini memperolehi pendapatan lebih RM200.00 seorang setiap kali turun ke laut tetapi sekarang hanya mendapat antara RM30.00 hingga RM40.00 sahaja. Mereka juga turut mengalami kerugian berpuluh ribu ringgit kerana alat tangkapan musnah dilanggar oleh bot-bot itu.

Bubu naga diharamkan penggunaannya oleh Jabatan Perikanan.

Bot-bot pukat tunda yang menceroboh zon tangkapan nelayan pantai di sini berpengkalan di Kuala Kedah, manakala nelayan bot pukat rawa sorong dan bubu naga pula datangnya dari daerah Yan.

Aktiviti haram itu sering dilakukan pada waktu malam mulai jam 12.00 sehingga 6.00 pagi,  antara 100 meter hingga 4 km dari pantai. Kawasan tumpuan operasi bot-bot tersebut ialah perairan Pulau Bidan, Tanjung Jaga dan Singkir.

Amin Abdul Hamid.

Seorang nelayan Amin Abdul Hamid, 43, memberitahu, sejak nelayan bot pukat tunda, rawa sorong dan bubu naga menjalankan aktiviti di perairan ini hidupan laut semakin pupus. Benih ikan, udang, ketam dan lain-lain musnah akibat penggunaan peralatan itu.

Dia berkata, jika kejadian ini gagal ditangani dengan berkesan oleh pihak kerajaan mereka mungkin terputus mata pencarian tidak lama lagi.

Mukhlis Mansor, 36, pula kecewa kerana pihak berkuasa gagal mengambil tindakan bagi membanteras aktiviti haram tersebut. Walaupun banyak aduan telah dibuat kepada pihak berkenaan tetapi masalah ini masih berterusan.

Mukhlis Mansor.

Beliau hairan kerana setiap kali aduan dibuat nelayan-nelayan yang menjalankan aktiviti haram itu menghentikan operasi mereka dengan serta-merta. Kemungkinan perkara ini terjadi akibat kebocoran maklumat pengadu.

Nelayan-nelayan pantai yang terlibat dan CAP telah beberapa kali mengemukakan masalah ini kepada pihak berkenaan tetapi tiada tindakan berkesan yang diambil.

CAP kesal dengan kejadian tersebut dan menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) campurtangan dan menjalankan siasatan dengan segera terhadap perkara-perkara yang menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan nelayan pantai di sini.

Masalah yang disuarakan oleh nelayan-nelayan pantai di sini bukanlah isu baharu malah sudah berpuluh tahun lamanya bantahan dibuat mereka agar ia ditangani oleh pihak berkuasa. Namun akibat penguatkuasaan undang-undang yang lemah keadaan ini berlarutan hingga sekarang.

Kesan dari itu bukan saja kehidupan nelayan pantai terus tertindas malah setiap hari ribuan metrik tan anak ikan (benih) musnah. Kejadian ini jika dibiarkan boleh berlaku kepupusan sumber perikanan dan menggugat sektor ini serta ekonomi negara pada masa akan datang.

Justeru itu, Jabatan Perikanan Kedah dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang bertanggungjawab membanteras aktiviti haram ini perlu menguatkuasakan Akta Perikanan 1985 dengan tegas dan berkesan.

CAP yang bersimpati dengan nelayan-nelayan pantai di sini turut menggesa pihak berkenaan menyalurkan bantuan atau pampasan yang setimpal kepada mereka yang terlibat dengan kerosakan alat tangkapan akibat dilanggar oleh bot pukat tunda yang menceroboh Zon A di perairan itu.

 

Kenyataan Media, 2 Mac 2022

Sila hulurkan sumbangan anda di https://consumer.org.my/ms/make-a-donation-malay/