Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) merasa kesal dan bimbang dengan keadaan jalan dari Pulau Betong ke Pantai Pasir Panjang, Balik Pulau, Pulau Pinang yang tidak diselenggara dengan baik.
Dalam tinjauan yang dibuat CAP mendapati, jalan sepanjang lebih kurang 2 km itu bukan saja dipenuhi daun kering di bahagian kiri serta kanan malah pengadang jalan ini juga telah roboh dan boleh menjejaskan keselamatan pengguna.
Saliran yang terdapat di kawasan berkenaan pula dipenuhi semak samun, cetek dan sempit, manakala di bukit berhampiran terdapat beberapa lokasi kejadian tanah runtuh yang berlaku sebelum ini.
Masalah itu boleh menyebabkan air melimpah dan bertakung di atas jalan ketika hujan serta membahayakan keselamatan mereka yang melalui jalan berkenaan.
CAP percaya jika keadaan jalan tersebut tidak diberi perhatian dan diambil tindakan segera ia boleh mengundang perkara yang tidak diingini. Di samping masalah hakisan, kejadian tanah runtuh juga mungkin berulang pada masa akan datang.
Hutan berhampiran akan terancam serta air laut di persisiran pantai di sini dikhuatiri tercemar oleh sisa lumpur jika langkah pencegahan dan kerja-kerja membaikpulih keadaan di tempat itu tidak dilaksanakan segera.
CAP memandang serius masalah ini bukan saja kerana keindahan alam semula jadi tempat itu tetapi ia juga kawasan tersebut menjadi tumpuan orang ramai beriadah dan laluan utama ke Kem Wawasan Negara.
Selain itu, CAP meminta sistem pembuangan sampah di kawasan berkenaan diurus dengan baik agar tidak mencemarkan kawasan berkenaan. CAP mendapati sisa buangan oleh para pengunjung berselerak di sekitar tong sampah yang disediakan di tepi jalan menyebabkan keadaan di sini kelihatan kotor.
Justeru, CAP menggesa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) menjalankan siasatan dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah itu demi keselesaan serta keselamatan para pengguna jalan berkenaan.
Kenyataan Media, 4 Mac 2022