Adakah Kita Akan Kehilangan Satu Lagi Ikon? Jangan Hentikan Perkhidmatan Kereta api Bukit Bendera

Pada 10 November 2021, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengumumkan bahawa Pulau Pinang sedang mempertimbangkan untuk menutup perkhidmatan kereta api Bukit Bendera (kereta api funikular) yang bermasalah jika ia terus rosak, dengan menekankan kepentingan keselamatan penumpang.

CAP terkejut dengan pengumuman ini dan berharap penutupan itu tidak akan kekal selamanya.

Kereta api Bukit Bendera, Pulau Pinang yang ikonik itu dibuka pada tahun 1923 dengan kerja pembinaannya bermula pada tahun 1920. Pemodenan terakhir kereta api ini adalah pada tahun 2011 yang mengurangkan masa keseluruhan perjalanan kepada hanya 10 minit.

Pulau Pinang kehilangan feri ikoniknya pada Disember tahun lepas. Adakah kita akan kehilangan satu lagi ikon yang telah beroperasi selama hampir 100 tahun?

Atau adakah ini pengumuman untuk memberi laluan kepada projek kereta kabel yang dicadangkan? Pengumuman kemungkinan penutupan Kereta api Bukit Bendera ini nampaknya memberikan kewajaran kepada keperluan untuk kereta kabel, sama ada sebagai pengganti atau alternatif bagi membawa orang ramai ke atas bukit itu.

CAP tidak menentang penutupan Kereta api Bukit Bendera untuk pembaikan atau penyeleggaraan kerana keselamatan kereta api adalah yang paling penting, tetapi untuk memberi alasan bahawa kereta api itu terus rosak dan bermasalah, dan oleh itu ia mungkin ditutup adalah seperti melepaskan sebarang harapan terhadap perkhidmatan ikonik ini yang penting untuk pelancong dan penduduk di atas bukit itu. Kereta api Bukit Bendera juga telah mencipta banyak kenangan indah untuk kedua-dua rakyat Pulau Pinang dan pelancong.

Orang ramai akan kecoh jika Kerajaan Negeri Pulau Pinang memutuskan untuk menutup Kereta api Bukit Bendera untuk selamanya. Berlaku kekecohan orang ramai apabila Feri Pulau Pinang ditutup pada tahun lepas. Malah YB Lim Guan Eng sendiri turut menganjurkan bantahan apabila penutupan itu diumumkan. Menyalahkan pihak lain amat mudah ketika itu kerana ia adalah keputusan Kerajaan Persekutuan untuk menutupnya. Tetapi Kereta api Bukit Bendera adalah di bawah Kerajaan Negeri dan ini akan menimbulkan kemarahan rakyat Pulau Pinang sekiranya Kerajaan Negeri memutuskan untuk menutup Kereta api Bukit Bendera.

Punca kerosakan harus dikesan dan diperbetulkan. Pada zaman berteknologi tinggi ini, adalah sesuatu yang luar biasa bahawa kerosakan kereta api bukit tidak dapat dikurangkan atau dicegah dengan ketara.

Membaiki dan menyelenggara Kereta api Bukit Bendera biar dengan bagaimana pun caranya demi untuk keselamatan penumpang tetapi untuk menutup sepenuhnya dan meninggalkannya adalah tidak bertanggungjawab kerana kereta api itu telah ditukar dan dimodenkan hanya pada tahun 2011. Seharusnya tiada dwistandard dalam melindungi ikon dan warisan Pulau Pinang.

 

Kenyataan Akhbar, 17 November 2021