CAP gesa MAFI campurtangan masalah sistem saliran di MADA

Hampir 500 petani di empat buah kampung daerah Kubang Pasu, Kedah kesal kerana punca banjir yang memusnahkan benih dan pokok padi mereka masih belum mendapat perhatian dari pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dalam tinjauan yang dibuat difahamkan, masalah yang melibatkan kira-kira 1,000 hektar sawah di kawasan itu berpunca dari sistem saliran yang tidak yang sempurna dan gagal berfungsi dengan berkesan. Antara kampung yang terjejas ialah Kampung Matang Mahang, Matang Bongor, Lana Bulu dan Golok Puting.

Kawasan sawah yang dilanda banjir di MADA.

Berikutan ancaman banjir ini petani terbabit telah mengalami kerugian ratusan ribu ringgit setelah benih padi yang ditabur beberapa kali dan pokok padi yang tumbuh berusia antara 10 hingga 20 hari mati ditenggelami air.

Seorang petani Salleh Omar, 60, memberitahu kejadian ini  bukan pertama kali berlaku malah setiap kali musim hujan sawah mereka ditenggelami air. Masalah tersebut telah beberapa kali dikemukakan dalam mesyuarat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) tetapi tidak ada tindakan yang diambil oleh pihak berkenaan.

Petani Salleh Omar menunjukkan rumah pam di Kampung Golok Puting yang tidak berfungsi dengan berkesan bagi menangani masalah banjir.

Menurut beliau, selain rumah pam di kawasan ini gagal berfungsi bagi mengatasi masalah banjir yang berlaku, pintu air di sini juga sudah lama mengalami kerosakan. Ia kesal kerana aduan mereka tidak mendapat perhatian sewajarnya dari pihak MADA termasuk masalah jalan ladang yang berlopak dan becak dibiarkan begitu saja tanpa sebarang tindakan.

Seorang lagi petani Daud Said, 51, berkata, “kehidupan kami kini semakin terhimpit. Setelah mengalami kerugian besar akibat bencana ini, beberapa bulan lagi kami akan  berhadapan pula dengan musim kemarau di mana tanaman kami mungkin terjejas sekali lagi akibat kekeringan jika masalah sistem saliran di kawasan ini terus dibiarkan dan tidak ditangani segera” tegasnya.

Beginilah keadaan sisa pokok padi yang musnah dilanda banjir.

CAP bersimpati dengan para petani yang terlibat dengan masalah ini dan menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) campurtangan bagi menyelesaikan masalah ini. Siasatan dan tindakan segera perlu diambil bagi menyelamatkan para petani terbabit dari terus mengalami kesempitan hidup.

CAP kesal walau pun masalah tersebut telah lama berlaku dan puncanya sudah dimaklumkan kepada pihak MADA di mesyuarat PPK sebelum ini namun tidak ada tindakan yang diambil sehingga kesan yang lebih buruk terpaksa dihadapi oleh petani-petani di kawasan kawasan berkenaan.

CAP bimbang dan percaya jika punca masalah banjir yang memusnahkan tanaman padi di jelapang padi ini tidak diberi perhatian serius oleh MAFI dan MADA ia bukan saja menjejaskan sumber pendapatan dan kehidupan para petani di sini tetapi juga boleh menggugat bekalan makanan dan sektor pertanian negara pada masa akan datang.

Keadaan jalan ladang MADA yang berlopak dan becak.

CAP berharap pihak kerajaan memberi pampasan dan menyalurkan bantuan segera kepada petani-petani yang terlibat dengan masalah tersebut agar mereka dapat meneruskan aktiviti  ini dan menyara kehidupan keluarga masing-masing dengan sempurna.

 

Kenyataan Media, 16 November 2021