JANGAN BIARKAN SISTEM PENGAIRAN MADA DICEMARI BAHAN BUANGAN – CAP

Bahan buangan yang dilonggok di tepi saliran MADA.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengambil tindakan berkesan bagi menangani pencemaran sampah sarap yang melibatkan saliran dan sungai di kawasan MADA Kedah dan Perlis.

Tinjauan CAP mendapati sistem pengairan di kawasan tersebut telah dicemari dengan berbagai bahan buangan seperti kertas, tin kosong, botol plastik, kayu dan sisa tumbuhan termasuk bekas racun yang digunakan pesawah.

CAP difahamkan, punca kejadian ini ialah sikap orang ramai, peniaga dan penduduk tempatan yang sewenang-wenangnya mencampak serta melonggok bahan buangan tersebut ke dalam dan tebing sistem pengairan di sini menyebabkan kawasan sekitar tercemar.

Beginilah keadaan pencemaran bahan buangan di saliran MADA.

Selain itu tindakan segelintir pesawah yang sesuka hati membuang bekas racun juga turut menyumbang kepada masalah ini dan amat merbahaya kerana sisa kimia yang terdapat pada bekas tersebut boleh memudaratkan bukan saja alam sekitar tetapi juga hidupan air dan kehidupan manusia.

Lebih membimbangkan CAP jika bekas racun itu bertoksik tinggi yang diharamkan penggunaannya di negara ini seperti racun untuk membasmi ancaman siput gondang dan tikus di kawasan ini.

Punca ikan air tawar yang semakin pupus sekarang perlu dikaji dan dipandang serius kerana ia berkaitan dengan penggunaan bahan itu oleh pesawah di kawasan berkenaan. Kejadian ini bukan saja menjejaskan hasil tangkapan dan pendapatan penduduk luar bandar tetapi juga sumber protein untuk kesihatan mereka.

CAP percaya perbuatan dan amalan membuang bahan buangan ini juga boleh menjejaskan bekalan air untuk tanaman padi pesawah serta berlaku banjir kilat jika ia tersumbat dan menyekat pengaliran air. Malah laut juga akan turut tercemar dan mengancam sumber perikanan dan mata pencarian nelayan pantai.

Justeru itu adalah perlu pihak MADA, Jabatan Pertanian, JPS dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengambil tindakan bersepadu terhadap masalah ini dengan melakukan pemantauan yang kerap serta menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada dengan tegas dan berkesan.

CAP percaya kerjasama semua pihak bukan saja dapat mewujudkan persekitaran yang bersih dan selamat tetapi juga berjaya menguruskan MADA sebagai Jelapang Padi Negara dengan lebih baik.

 

Kenyataan Media, 18 November 2021