“AGROEKOLOGI UNTUK SEMUA: Inisiatif di Malaysia – PERSATUAN PENGGUNA PULAU PINANG

Saraswathi Devi Odian, dengan usaha gigihnya tanpa jemu, telah menjayakan projek pertanian bandar CAP.

SARASWATHI DEVI ODIAN
Pertanian Tanpa Bahan Kimia untuk Masa Depan yang Lebih Cerah

Bagi Saraswathi Devi Odian, agroekologi bukan sahaja menjadi bahagian penting dalam tugas hariannya tetapi juga tenaga hidupnya. Sebagai Pegawai Pertanian dan Pendidikan, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), beliau berusaha dengan gigih untuk menerapkan amalan pertanian yang baik kepada masyarakat Malaysia. Aktiviti alam sekitar dan pertanian yang berkembang pesat di CAP membuktikan kejayaan tugas yang beliau jalankan.

Saraswathi berkata itu semuanya berakar umbi daripada didikannya. Dalam kebanyakan keadaan, apa yang diingini dalam hidup adalah apa yang dinikmati dan dihargai pada masa lalu. Bagi Saraswathi, itu adalah pengalaman bertani bersama bapanya.

“Bapa saya, selepas waktu bekerja biasa, pada waktu petang, menanam pelbagai jenis sayur-sayuran di kawasan kebun kecil bersebelahan dengan rumah kami di Air Terjun, Pulau Pinang. Saya sering menemaninya ke kebun. Dia memetik bendi muda dan kacang panjang serta meminta saya memakannya secara mentah.

“Kebanyakan kita akan membayangkan betapa hambarnya sayur-sayuran itu. Tetapi percayalah, ia sedap, dan setiap lawatan ke kebun selepas itu adalah dengan penuh harapan untuk merasai sayur-sayuran mentah yang rangup itu.

“Saya masih ingat bagaimana bapa saya membuat unggun api dengan gabungan daun kering, daun hijau, dan batang pisang, yang mengeluarkan asap dengan aroma tersendiri yang boleh menghalau nyamuk. Makanan ringan petang kami, selalunya, adalah ubi kayu dan jagung yang dibakar di dalam unggun api itu.

Saraswathi, dengan pengetahuannya yang mendalam, mampu untuk membimbing ramai orang mengenai cara mendapat manfaat daripada penanaman dan pengambilan herba.

“Itu semua adalah kenangan yang tidak dapat dilupakan dalam hidup saya,” kenang Saraswathi.

Tahun 2004 menandakan permulaan baharu bagi Saraswathi. Itulah tahun yang membuka jalan untuk kepentingan pertanian yang sudah lama terkubur dalam dirinya untuk muncul semula. Selama bertahun-tahun, minatnya telah berkembang menjadi pelbagai aktiviti pertanian yang memberi manfaat kepada ramai orang.

“Nammalvar, pejuang pertanian organik dari Tamil Nadu, melawat CAP pada 2004. Dia berpakaian dhoti putih yang ringkas dan bergerak dengan tangkas, mengalahkan usianya. Dalam program ceramah anjuran CAP, Nammalvar berkongsi pengetahuan dan falsafah pertaniannya yang luas.

“Di sebalik kekayaan pengetahuannya mengenai pertanian dan isu-isu alam sekitar, dia sangat merendah diri. Tokoh bapa yang mencurahkan kerendahan hati dan kebijaksanaan adalah faktor pendorong yang hebat untuk saya pada masa itu.”

“Dr. Sultan Ahmed Ismail, dengan pengetahuannya yang mendalam mengenai cacing tanah dan tanah, memperkenalkan pelbagai kaedah dan teknik di mana pengkomposan boleh dilakukan untuk kumpulan sasaran yang berbeza.

“Bimbingan oleh ramai lagi pakar pertanian dari India memperkayakan lagi pengetahuan kami. Input berharga mereka membantu dalam kemajuan kami dan menetapkan kami ke arah yang betul dalam merealisasikan matlamat kami.

Petani tempatan dan peminat pertanian, T. Kaniappan dan K. Sanmargam, banyak membantu dalam bahagian awal usaha kami melalui percubaan mereka terhadap pelbagai kaedah pertanian dan perbincangan membina yang kami adakan.

“Semua bimbingan dan input pakar ini sangat membantu kami dalam mewujudkan pusat pembelajaran pertanian asli. Banyak perbincangan dan penerapan pengetahuan dalam bidang itu mengubah kami menjadi kakitangan yang berpengetahuan dan meningkatkan keyakinan kami untuk menganjurkan program pertanian asli,” kongsi Saraswathi.

Saraswathi, sedang menerangkan kepada pelajar kolej mengenai campuran yang betul bagi pelbagai jenis tanah untuk penanaman.

“Tahun-tahun terakhir berinteraksi dengan petani dan pengguna Malaysia telah membuka mata saya kepada cara dunia dalam pertanian. Di Malaysia, petani terjebak dalam khayalan yang mendalam. Mereka yakin bahawa bahan kimia pertanian adalah satu-satunya jawapan untuk meningkatkan input ladang.

“Cengkaman dan tarikan syarikat agrokimia ini terhadap mereka berada pada tahap tertinggi. Bekalan percuma baja, penggalak tumbuhan, dan banyak lagi bahan kimia pertanian oleh Jabatan Pertanian menghalang petani daripada memilih pertanian tanpa bahan kimia.

“Mereka berada dalam kepompong selesa mereka sendiri menggunakan bahan kimia dan hasil penuaian. Pengetahuan pertanian mereka telah menyempitkannya kepada baja apa yang akan digunakan dan racun makhluk perosak apa yang perlu disembur untuk tanaman mereka. Jadi, meyakinkan mereka untuk beralih kepada pertanian bebas bahan kimia terbukti menjadi tugas yang sukar.

“Namun begitu, melalui program ceramah dan lawatan ladang, kami terus mendesak petani mengenai manfaat jangka panjang pertanian tanpa bahan kimia,” jelas Saraswathi.

“Pegawai Jabatan Pertanian, dalam keghairahan mereka untuk memperkenalkan dan mempopularkan kaedah pertanian secara fertigasi dalam kalangan petani, memuji kebaikannya sambil pada masa yang sama menerapkan tanggapan palsu bahawa penanaman dalam tanah menyebabkan pelbagai penyakit tanaman.

“Petani juga menganggap pertanian asli memerlukan buruh yang ramai dan dengan itu memerlukan kos yang tinggi. Walaupun semua faktor ini ada kalanya menghalang kemajuan kami ke arah amalan pertanian yang sihat, kami terus meneruskannya.

“Program pendidikan alam sekitar dan pertanian asli kami telah menjangkau semua peringkat, daripada tadika sehinggalah pelajar di institusi pengajian tinggi. Untuk sekolah, kami menganjurkannya dengan cara guru, pelajar dan tukang kebun sekolah terlibat dalam keseluruhan proses.

Menyampaikan pendidikan alam sekitar kepada pelajar adalah sebahagian daripada misi Saraswathi dalam kehidupan.

“Semasa pelajar menjaga tanah dan menjalankan penanaman dan percubaan lain di kebun dengan bimbingan guru, tukang kebun sekolah pula memainkan peranan dengan menyokong dalam memastikan pertumbuhan keseluruhan tanaman, seperti menyiram tanaman semasa cuti sekolah dan kerja lain yang berkaitan seperti menggali dan melaksanakan tugas yang berat.

“Kesuburan tanah dan peranan mikroorganisma, kerosakan yang ditimbulkan ke atas tanah oleh bahan kimia, adalah topik wajib diperkenalkan di setiap sekolah kerana ia adalah elemen teras agroekologi. Melalui usaha bersepadu kami, minda muda ditala untuk berfikir dan bertindak bagi memupuk alam semula jadi, dan kami optimis bahawa dalam masa terdekat, ia akan mewar-warkan perkembangan positif mengenai isu yang berkaitan dengan alam sekitar dan agroekologi.

“Selama bertahun-tahun, kami juga mengetahui bahawa kaedah berbeza perlu digunakan bagi mengendalikan kumpulan sasaran yang berbeza. Contohnya, apabila memperkenalkan kaedah berkebun kepada pelajar bandar, kami menyedari bahawa ia adalah satu tugas yang sukar untuk meyakinkan mereka untuk menghubungkannya dengan tanah kerana pelajar bandar, disebabkan gaya hidup yang terpisah sepenuhnya daripada tanah, melihat tanah hanya sebagai segumpal kotoran dan oleh sebab itu enggan untuk menyentuhnya.

“Kami memastikan mereka mengendalikan tanah dengan tangan dan memberitahu mereka selagi mereka mengambil makanan, mereka berhubung dengan tanah. Sebaliknya, dengan pelajar luar bandar, ia adalah cerita yang berbeza. Mereka bukan sahaja berhubung dengan selesa dengan tanah, tetapi mereka juga, kadang-kadang, berkongsi coretan berharga mereka mengenai berkebun.

“Kenaikan harga barangan keperluan makanan dan peningkatan kesedaran mengenai keselamatan makanan telah mendorong ramai orang untuk menanam sayur-sayuran mereka sendiri, dan ini telah meringankan tugas kami ke arah melaksanakan projek kebun bandar. Teknik penanaman di persekitaran bandar dan mencipta penggalak pertumbuhan yang mudah dan penghalau makhluk perosak diajar kepada tukang kebun bandar melalui syarahan dan demonstrasi.

“Dalam program latihan kebun bandar bulanan kami, bersama-sama dengan penanaman sayur-sayuran, kami memperkenalkan herba ubatan yang mudah ditanam, dengan itu menjadikan pembelajaran lebih holistik.

Saraswathi menerangkan kaedah pengkomposan menggunakan paip kepada peserta latihan kebun bandar di CAP.

“Kami membimbing mereka mengenai cara mengubah dapur harian dan sisa makanan menjadi kompos. Kami mendidik mereka mengenai bagaimana cara tindakan mereka membantu mengalihkan sisa organik daripada terus ke tapak pelupusan sampah. Kami menolak mitos bahawa hanya mereka yang mempunyai “bakat dalam pertanian” sahaja boleh menanam, dan meyakinkan mereka bahawa, seperti makan, menanam juga, adalah dalam genggaman semua.

“Bagi mereka yang belajar membuat kompos dan menanam, latihan susulan adalah untuk membuat penghalau makhluk perosak. Ramai penduduk bandar, yang mendapat ilham daripada latihan kami, telah menubuhkan kebun bandar mereka sendiri. Mereka membuang keraguan dan meningkatkan pengetahuan mengenai pertanian melalui kumpulan WhatsApp yang ditubuhkan untuk tujuan ini.

“Bertahun-tahun menjalankan program alam sekitar untuk rakyat pelbagai peringkat umur dan latar belakang, menjadi satu pengajaran akan kehidupan sebenar bagi kami di CAP untuk memahami corak pemikiran dan tanggapan mengenai alam sekitar yang sebati dalam masyarakat. Ada yang berpendidikan tinggi mengikut piawaian dunia, tetapi pengetahuan mereka mengenai herba yang paling biasa pun tiada.

“Sebaliknya, mereka yang baharu diperkenalkan dengan dunia berkebun menjadi begitu bersemangat sehingga ke tahap menangkap serangga yang merosakkan tanaman mereka dan membawanya ke CAP untuk penjelasan lanjut dan menuntut penyelesaian segera.

“Kedua-dua cara, setiap program dan sesi latihan dan penyelesaian masalah yang berikutnya, sepanjang tahun ini, telah memperkaya dan meluaskan lagi ufuk kami.

Saraswathi menjaga tanaman kubis di kebun CAP.

“Benih adalah bahagian penting dalam pertanian dan ia ditekankan tanpa gagal dalam semua program kami. Setiap tahun kami mengedarkan ratusan kantung pelbagai biji benih kepada orang ramai, menggalakkan mereka menyimpan dan berrkongsi biji benih. Program perkongsian biji benih tahunan kami, dengan cara kami sendiri, adalah langkah proaktif ke arah memerangi monopoli biji benih yang merancang untuk menguasai sektor pertanian.

“Kami berazam untuk mempergiatkan lagi langkah kami ke arah tujuan ini dalam masa terdekat,” rumus Saraswathi dengan menyatakan harapannya untuk masa depan yang lebih cerah.

Agroecology Fund