

Lebih kurang 10 hektar sawah dan beberapa buah rumah di Kampung Haji Din dan Kampung Sungai Jagung, Sungai Layar dekat Sungai Petani, Kedah terjejas diancam air kotor dari kawasan perumahan berdekatan.
Masalah yang sudah lama berlaku ini menyebabkan para petani dan penduduk-penduduk yang terlibat mengalami kerugian akibat kerosakan tanaman padi dan harta benda setiap kali hujan lebat.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dalam tinjauan yang dibuat difahamkan, punca berlakunya masalah ini ialah kerana longkang lama yang terdapat di kawasan itu tidak berfungsi dengan berkesan dan longkang yang baru dibina pula menghala ke kawasan sawah.
Berikutan itu setiap kali hujan lebat air kotor dan busuk dari kawasan perumahan menerjah masuk ke kampung dan sawah di sini mengancam rumah penduduk kampung berkenaan dan sawah berdekatan.

Manakala sebahagian daripada tanah sawah yang terlibat dengan masalah ini tidak dapat diusahakan lagi kerana ditumbuhi pokok menerong dan terbiar akibat ancaman banjir air kotor ini.
Seorang penduduk Shukri Md Noor, 40, berkata selain rumahnya kerap dimasuki air kotor, beliau juga terpaksa meninggalkan kerja sawah berikutan hasil padi merosot teruk akibat kejadian ini.
Ia meminta pihak berkenaan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah itu kerana mereka sudah lama hidup menderita dan tidak mampu lagi berhadapan dengan keadaan yang berlaku ini.
Azizah Ismail, 65, pula memberitahu beliau terpaksa menggunakan pam setiap kali hujan lebat bagi membuang air yang melimpah masuk ke dalam rumahnya. Sehari ia terpaksa membelanjakan RM10.00 membeli minyak bagi tujuan tersebut.

Tajudin Ibrahim, 70, yang mengusahakan sawah di Kampung Sungai Jagung mendakwa benih padi yang ditabur olehnya mati akibat dicemari air kotor dan berbau busuk dari kawasan perumahan di sini.
Setiap kali air kotor melimpah masuk ke dalam sawah, ia bersama 4 orang lagi petani yang mengusahakan tanaman padi berhampiran longkang di kawasan itu mengalami kerugian besar akibat kemusnahan benih dan pokok padi yang berlaku.
CAP kesal dengan kejadian ini walaupun sudah lama berlaku namun hingga sekarang tidak ada tindakan berkesan yang diambil oleh pihak berkenaan.
CAP bimbang jika keadaan ini dibiarkan berlarutan ia bukan saja boleh menjejaskan kehidupan petani dan penduduk terbabit dengan lebih serius lagi pada masa akan datang malah tanah pertanian dan kampung tradisional di kawasan ini juga mungkin lenyap.
Justeru, CAP menggesa kerajaan Kedah, Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) dan jabatan berkaitan menjalankan siasatan secara menyeluruh ke atas punca masalah tersebut dan mengambil tindakan segera bagi mengatasinya.
Tanah sawah dan petani termasuk penduduk kampung yang mengalami kerugian akibat masalah ini wajar diselamatkan dan diberi pampasan agar mereka dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang
Kenyataan Media, 8 April 2022
Sila hulurkan sumbangan anda di https://consumer.org.my/ms/make-a-donation-malay/