CAP gesa punca banjir di Rantau Panjang ditangani segera

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) kesal dengan kejadian banjir besar yang melanda beberapa buah kampung di daerah Rantau Panjang, Kelantan berpunca daripada projek tebatan banjir yang dibina di kawasan itu gagal berfungsi dengan berkesan.

Mengulas laporan akhbar tempatan mengenai perkara ini, CAP merasa hairan bagaimana projek yang bermatlamat untuk mengatasi masalah banjir di kawasan berkenaan berlaku sebaliknya sehingga mengancam kehidupan penduduk tempatan.

Sejak projek Fasa Satu Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok dibina, sudah dua kali banjir besar melanda 5 buah kampung di sini iaitu Kampung Tersang, Kampung Gual To’ Deh, Kampung Gual Periok, Kampung Padang Licin dan Kampung Kusar.

Masalah ini didakwa berlaku berpunca daripada projek tebatan banjir yang dibina sejauh 30 kilometer dari Tok Uban ke Lancang itu tidak mempunyai pintu air kecemasan. Akibatnya bila hujan lebat air tidak dapat mengalir ke Sungai Golok dan melimpah masuk ke kampung tersebut.

Banyak harta benda penduduk yang terlibat telah musnah, manakala beberapa kawasan yang sebelum ini tidak pernah berlaku banjir turut dilanda bencana itu. Baru-baru ini seramai 150 penduduk sekitar Rantau Panjang telah mengadakan protes membantah kejadian yang berlaku.

CAP yang bersimpati dengan penduduk di sini menggesa kerajaan Kelantan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah tersebut dan berharap kejadian seumpama ini tidak berulang.

CAP percaya jika keadaan ini berlarutan kehidupan penduduk-penduduk di kawasan itu akan terancam dengan lebih teruk lagi pada masa akan datang. CAP berpendapat adalah perlu bagi pihak kerajaan berbincang dengan penduduk tempatan terlebih dulu bagi mendapatkan pandangan mereka terhadap sesuatu projek yang dirancang.

CAP juga mencadangkan supaya kerajaan Kelantan membayar pampasan kepada penduduk-penduduk yang mengalami kerugian akibat kerosakan harta benda kerana masalah ini.

 

Kenyataan Media, 30 Mac 2022

Sila hulurkan sumbangan anda di https://consumer.org.my/ms/make-a-donation-malay/