Malaysia tidak boleh menunggu lama lagi untuk rang undang-undang anti lompat parti diluluskan di Parlimen

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) kecewa dengan pembentangan Perlembagaan Persekutuan (Pindaan ) 2022 rang undang-undang anti lompat parti di Parlimen telah ditangguhkan. Kami amat berharap agar diluluskan rang undang-undang ini dengan seberapa segera memandangkan lompat parti berleluasa dalam kalangan Ahli Parlimen (MP) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), terutama sekali beberapa tahun yang lepas. Tindakan lompat parti atau penjajaran semula kesetiaan adalah satu pengkhianatan secara terang-terangan kepada kepercayaan pengundi.

Pengundi mengundi ahli politik berdasarkan kepada siapa yang mereka mahu untuk mewakili mereka, dan/atau parti yang diwakili oleh ahli politik itu untuk berkhidmat sehingga pilihan raya akan datang. Inilah alasan kenapa calon politik bertanding bagi pilihan raya yang dikenal pasti dengan nama calon serta logo parti yang bergabung dengannya.

Satu contoh pengundi mengundi ahli politik dan bukannya parti ialah bekas YB C. Y. Choy. Beliau dengan mudah memenangi Pilihan Raya Umum 1969 sehingga kematiannya pada 1980 pada usia 73 walaupun bertanding sebagai calon bebas bagi kawasan Pengkalan Kota selepas pembatalan pendaftaran Socialist Front yang diwakilinya sebelum ini. Penduduk di kawasan itu mengundi C. Y. Choy kerana menghormatinya, menghargai perkhidmatan dan dedikasinya yang cemerlang.

Bagaimanapun, terdapat juga keadaan di mana pengundi mengundi parti tanpa mengira calon.

Oleh sebab itu amat tidak beretika bagi calon yang dipilih untuk bertukar parti atau kesetiaan selepas diundi oleh pengundi di kawasannya.

Jika calon yang dipilih dibuang oleh parti politiknya, seseorang itu perlu kekal sebagai bebas sepertimana dalam kes Teh Yee Cheu bekas ADUN Tanjung Bungah selama dua penggal. Walaupun beliau tidak bersetuju dengan beberapa dasar kerajaan negeri, terutamanya berkaitan dengan isu alam sekitar, beliau tidak keluar daripada DAP dan masuk parti lain sehingga selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri. Hanya selepas itu beliau menyertai Parti Sosialis Malaysia pada 2018.

Bagaimanapun, jika wakil rakyat yang dipilih memutuskan untuk menyertai parti lain, adalah lebih baik bagi beliau untuk mengosongkan kerusinya bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan.

Wakil rakyat bebas seharusnya tidak dibenarkan untuk menyertai sebarang parti selepas pilihan raya kerana dengan membenarkannya, wakil rakyat bebas mungkin menggunakan undi yang dimenangi mereka untuk menyokong parti yang kalah sedikit untuk mengimbangkan kuasa.

Sebaliknya, pengundi sendiri mestilah ditadbir oleh prinsip yang betul dan tidak condong kepada parti. Mereka mesti menilai wakil rakyat mereka. Mereka mestilah menjadi warganegara yang aktif, terlibat dalam isu di kawasan mereka dan sentiasa meneliti prestasi wakil rakyat mereka.

Pengundi hendaklah tidak menunggu pemberian daripada wakil rakyat mereka dan bagi semua perhimpunan perayaan yang dianjurkan oleh ahli politik. Warganegara seharusnya tidak perlu MP dan ADUN mereka untuk muncul bersama ang pow (sampul merah) dengan wang ketika kenduri perkahwinan dan kematian bagi pengkebumian pengundi mereka. Budaya warganegara dan pengharapan mereka juga perlu berubah.

Mestilah terdapat penilaian teliti terhadap apa yang dibayar kepada MP dan ADUN kita (contohnya elaun dan pencen) dan juga peruntukan yang diberikan kepada mereka. Peruntukan yang diberikan mestilah hanya cukup untuk menjalankan pusat perkhidmatan dengan cekap dan berkesan tetapi bukannya untuk pemberian.

Terdapat agensi dan institusi untuk menjaga kebajikan rakyat. Contohnya, jika terdapat masalah dengan kutipan sampah, rakyat mestilah membawa perkara ini kepada pihak Majlis kerana ia adalah tugas Majlis dan mereka perlu bertindak ke atasnya. Ia seharusnya bukan tugas wakil rakyat untuk mengambil isu kutipan sampah dan longkang busuk.

Warganegara juga perlu bangkit dan matang kerana hanya dengan inilah ahli politik dapat diteliti. MP dan ADUN mestilah memberikan laporan setiap suku tahun mengenai tugas yang telah dilakukan oleh mereka, bilangan masa mereka pada persidangan, dan isu yang mereka kemukakan di Parlimen. Mereka boleh melakukannya di Facebook, laman sesawang , atau melalui media sosial.

Lompat parti mewujudkan keadaan ketidakstabilan dan ketidaktentuan politik negara dan persekitaran ekonomi. Lebih-lebih lagi, pilihan raya kecil adalah menelan belanja yang mahal yang perlu dielakkan oleh negara.

Berdasarkan premis ini kami menggesa rang undang-undang anti lompat parti dibentangkan dengan segera dan disokong oleh semua Ahli Parliman kerana ia akan mengembalikan semula sistem demokrasi negara.

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)    

Surat Kepada Pengarang, 11 April 2022        

Sila hulurkan sumbangan anda di https://consumer.org.my/ms/make-a-donation-malay/