Anda TIDAK SIHAT, melainkan TIDUR ITU SIHAT

“Pada usia berapa pun, kesan mengantuk berkisar dari mengganggu hingga kematian,” kata Pengarah Eksekutif Yayasan Tidur Kebangsaan (NSF) Amerika Syarikat, Richard Gelula.

Kekurangan tidur boleh mengurangkan perhatian dan kewaspadaan sehingga 50%, kemampuan untuk membuat keputusan sehingga 50%, kemahiran komunikasi sehingga 30% dan daya ingatan sehingga 20%, demikian menurut saintis.

Kurang tidur juga dikenali sebagai “hutang tidur” diakui sebagai masalah serius di banyak negara hari ini.

Harga bagi keadaan ini amat tinggi – tenaga berkurang, kesukaran dalam memberikan tumpuan, mood berkurang, dan berisiko berlaku kemalangan (termasuk kemalangan akibat tertidur).

Prestasi kerja dan perhubungan juga boleh terjejas. Kesakitan juga akan meningkat kesan mental dan fizikal akibat kurang tidur.

Pengetahuan mengenai tidur, seperti juga pengetahuan mengenai pemakanan dan senaman, amat penting kepada kehidupan anda, kebahagiaan, produktiviti dan kesihatan yang baik.

“Kita tidak sihat melainkan tidur kita itu sihat. Kita tidak boleh membuat tidur kita sihat melainkan kita menyedari akan bahaya dan kebaikannya,” kata William C. Dement, tokoh terkemuka dunia mengenai tidur dan kekurangan tidur.

Berikut lapan perkara penting yang anda perlu tahu mengenai kekurangan tidur:

  1. Kekurangan tidur secara langsung menyebabkan atau dikaitkan dengan lebih 20 masalah kesihatan termasuk kemurungan, pedih hulu hati pada waktu malam, diabetes dan penyakit jantung.
  2. Ia juga boleh membawa kepada masalah mental seperti pemikiran yang terganggu, tidak rasional, halusinasi, khayalan, kegelisahan, ketakutan dan paranoia.
  3. Pada diri sendiri, ia menjejaskan daya ingatan, mencegah kita daripada belajar atau mengamalkan kemahiran baharu dengan lebih cekap dan menjadikan kita kurang kreatif.
  4. Ia menjejaskan prestasi tempat kerja – pekerja yang mengantuk kurang bermotivasi, tidak tegas, melakukan lebih banyak kesilapan, tidak dapat mengendalikan stres dengan baik dan tidak mengambil berat mengenai kerja mereka.
  5. Di sekolah, ia boleh menyebabkan masalah disiplin dan tingkah laku, dan gred yang buruk.
  6. Kanak-kanak pula berisiko mengalami kecederaan – kanak-kanak yang mengantuk lebih banyak jatuh dan terantuk.
  7. Ia juga membahayakan keselamatan pekerja dan pengguna jalan raya dengan menjadikan orang ramai lebih terdedah kepada kemalangan.
  8. Pada keseluruhannya, ia mengurangkan kualiti kehidupan kita.

DARIPADA PANDUAN CAP, boleh diperolehi di sini: https://consumer.org.my/ms/product/cara-tidur-jejaskan-tubuh-dan-minda/