
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua penerima Anugerah Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2025 yang dianugerahkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), khususnya kepada:
- YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan Malaysia;
- Dr. Noraryana Binti Hassan, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM); dan
- Dr. Murallitharan Munisamy, Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC).
Anugerah ini merupakan pengiktirafan tertinggi terhadap komitmen dan keberanian pihak-pihak ini dalam melindungi kesihatan awam melalui pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang sangat mustahak dan bersejarah bagi negara kita.
Sebagai sebuah organisasi pengguna yang komited memperjuangkan hak kesihatan rakyat, CAP menegaskan bahawa perlindungan terhadap rakyat Malaysia terutamanya pelajar sekolah dan kanak-kanak daripada ancaman rokok dan vape adalah suatu keutamaan yang tidak boleh dikompromi.
Peningkatan penggunaan rokok elektronik dan vape yang terbukti membawa risiko kesihatan serius, bahkan mengancam nyawa, menuntut tindakan kawalan yang lebih tegas, menyeluruh, dan berkesan.
CAP juga menggesa agar semua dasar yang dijalankan oleh kerajaan dalam mengawal produk merokok terutama rokok elektronik dan vape bebas daripada pengaruh industri tembakau dan vape yang selama ini sering menggagalkan dasar-dasar kawalan melalui pelbagai taktik pelobi dan gangguan undang-undang.
Kami menyatakan sokongan penuh terhadap usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memajukan dasar bagi mengawal produk merokok dan akan terus bekerjasama erat dengan semua NGO serta aktivis kawalan tembakau di seluruh negara.
Usaha kolektif ini amat penting bagi mencapai matlamat Malaysia Bebas Asap Rokok demi kesihatan dan masa depan rakyat yang lebih sejahtera.
Mohideen Abdul Kader
President
Persatuan Pengguna Pulau Pinang
Kenyataan Akhbar, 20 Mei 2025

