Apa Akan Berlaku JIKA TIADA LAGI LEBAH?

Anda perlu berterima kasih bagi setiap 1 daripada 3 gigit makanan yang anda makan, kata Jabatan Pertanian Amerika Syarikat. Jika lebah lenyap sepenuhnya, ia akan menyebabkan kesukaran yang meluas dan kemungkinan kebuluran kepada manusia. Ini kerana lebah memainkan peranan penting dalam bekalan makanan global, pendebungaan tanaman yang memberi makan kepada 90% penduduk dunia.

Jika semua lebah mati, banyak makanan yang sering kita makan tidak akan diperolehi lagi. Selain madu, sesetengah kekeras dan kacang juga akan lenyap selamanya memandangkan ia amat bergantung kepada lebah.

Beri biru dan ceri akan terjejas memandangkan ia 90% bergantung kepada lebah madu bagi pendebungaan. Makanan lain seperti avokado, epal, beri, limau gedang, tembikai, brokoli, timun dan kacang polong juga akan turut terjejas, kata laporan dalam Daily Mail (7 Ogos 2019).

Banyak ubatan yang digunakan oleh manusia, konvensional dan alternatif, juga akan hilang memandangkan ia berasal daripada tumbuhan berbunga. Hidupan liar yang bergantung kepada lebah seperti burung dan mamalia kecil juga akan turut lenyap jika ia tiada lagi dalam persekitaran.

Tetapi bilangan lebah kini semakin merosot pada kadar yang amat membimbangkan di seluruh dunia. Sehingga Mac 2020, terdapat lapan spesies lebah diletakkan dalam senarai spesies terancam, termasuk dua jenis kumbang. Ini tidak termasuk lebah madu.

Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), “Kadar kepupusan spesies pada masa kini (bagi lebah dan pendebunga lain) adalah 100 hingga 1,000 kali lebih tinggi berbanding biasa disebabkan oleh kesan daripada manusia. Perubahan dalam penggunaan tanah dan struktur landskap, amalan pertanian intensif, monokultur dan penggunaan racun makhluk perosak telah membawa kepada kehilangan berskala besar, pemecahan dan kemerosotan habitat mereka.”

Albert Einstein sering dipetik sebagai berkata: “Jika lebah lenyap daripada muka bumi, manusia hanya tinggal empat tahun untuk hidup.” Tidak ada bukti yang tokoh pintar Jerman ini mengatakannya, tetapi mesejnya amat menakutkan.

Apa yang anda boleh lakukan: Buat pilihan mesra pendebunga. “Menanam bunga di rumah untuk memberi makan kepada lebah turut menyumbang kepada usaha ini, kata Jose Graziano da Silva, Ketua Pengarah FAO.