Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa pihak berkuasa negeri Pulau Pinang dan pihak berkuasa tempatan untuk menyiasat penerokaan tanah bukit di Batu Ferringhi, berhampiran Persiaran Sungai Emas 3. Siasatan lapangan SAM setelah menerima aduan menunjukkan bahawa lereng bukit di sini adalah dipotong teres, kemungkinan untuk tujuan pertanian.
Pengadu telah menghantar tangkapan skrin dari aplikasi Google Earth kepada kami yang dengan jelas menunjukkan bahawa sebidang tanah sedang dibersihkan di bukit ini. Semasa tinjauan SAM, kami menemui jalan masuk yang menuju ke tanah yang dibersihkan tetapi tidak dapat pergi jauh ke dalam untuk mengelakkan pencerobohan kerana kami tidak pasti status tanah tersebut.
SAM berpandangan bahawa penerokaan tanah bukit di sini adalah bencana yang menanti berlaku, selain kemusnahan kawasan hutan. Sekiranya hujan lebat dan berterusan, kemungkinan berlaku kejadian tanah runtuh dan hakisan tanah adalah tinggi.
Oleh itu, SAM menggesa pihak berkuasa yang berkenaan untuk turun ke lokasi untuk menyiasat status tanah, sifat kerja yang dilakukan di sini, dan mengenalpasti sama ada ianya penerokaan haram. Pihak berkuasa juga mesti mendedahkan kepada orang ramai sekiranya kerja tanah di sini melanggar Akta Pemuliharaan Tanah 1960, yang berkaitan dengan pemuliharaan bukit dan perlindungan daripada hakisan tanah dan larian kelodak.
SAM berharap pihak berwajib akan mengambil tindakan segera terhadap penerokaan tanah bukit ini dan di kawasan lain kerana semakan di Google Earth menunjukkan bahawa terdapat banyak lereng bukit yang dibersihkan di banjaran bukit di sini dan bahagian lain di pulau ini.
Bukit-bukau adalah amat sensitif dan tragedi masa lalu harus dijadikan pengajaran. Kita perlu menjaga dan melindungi ekosistem bukit kita untuk kebaikan semua.
Nota: Lokasi kawasan penerokaan adalah berhampiran 5º28’05.49”N, 100º15’25.82”E
Kenyataan Akhbar, 30 April 2021