ATASI SEGERA MASALAH PEMBUANGAN SAMPAH  DI JALAN DENNIS TOWN, PARIT BUNTAR, PERAK

Longgkan sampah yang menimbun.

Sahabat Alam Malaysia (SAM) memandang serius tentang pembuangan sampah yang berlaku di Jalan Kampung Tepi Sungai Kerian atau Jalan Dennis Town berdekatan pintu air JPS Dennis Town, Parit Buntar, Perak.

Longgokan sampah berhmpiran Sg Kerian.

Pihak Majlis Daerah Kerian (MDK), Pejabat Tanah dan Daerah Kerian, Jabatan Pengairan dan Saliran Kerian (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pejabat Kesihatan serta Ahli Parlimen Parit Buntar  perlu segera menyiasat perkara ini dan mengambil perhatian serius bagi mengatasi masalah pembuangan sampah yang berlaku.

Dalam tinjauan yang dibuat oleh SAM didapati dua lokasi berasingan dan kedua-dua longgokan sampah tersebut berada pada satu jalan yang sama cuma berlainan lokasi sahaja. Satu darinya berhadapan dengan rumah pam JPS Dennis Town dan Pencawang Elektrik Dennis Town 3 manakala yang satu lagi berdekatan dengan Sungai Kerian dan tidak jauh dari Kuil Arulmigu Maha Muthu Mariamman.

Kedua-dua longgokan sampah tersebut dipenuhi berbagai bahan buangan seperti plastik, kaca, kayu, botol, tilam selain timbunan bungkusan yang dipercayai kain terpakai.

Di samping itu, kami juga turut melihat kesan pembakaran sampah di kawasan longgokan berhadapan rumah pam JPS dan Pencawang Elektrik Dennis Town 3.

Longgokan sampah bertarikh 29 Nov 2024.
Rumah Pam JPS Dennis Town.

SAM mendapati keadaan sampah yang dilonggokkan di kedua-dua lokasi semakin hari semakin menimbun seolah-olah kawasan tersebut adalah tapak pelupusan sampah padahal kawasan berkenaan hanyalah jalan ban menuju ke Ladang Tali Ayer dan jalan utama menuju ke pekan lama Parit Buntar.

Kami tidak menolak kemungkinan perkara ini telah lama berlaku kerana di kawasan tersebut terdapat bekas longgokan sisa buangan sampah yang lama.

Apa yang mendukacitakan kami ialah kenapa pihak-pihak yang bertanggungjawab tidak dapat mengesan dan mengambil tindakan di atas masalah yang berlaku sedangkan longgokan sampah tersebut berhadapan dengan rumah pam JPS.  Persoalannya adakah pihak JPS tidak mengambil peduli akan permasalahan ini dengan bertindak melaporkan kepada pihak-pihak yang berkenaan? Apakah pihak MDK juga tidak dimaklumkan oleh mana-mana pihak berkenaan perkara ini? Atau adakah disebabkan lokasi longgokan sampah ini berada jauh dari kawasan bandar, maka tidak diambil peduli oleh pihak berkenaan?

Gambar longgokan bertarikh 2 Disember 2024.
Rumah Pam JPS Dennis Town.

SAM sebelum ini telah menghantar sesalinan surat kepada pihak MDK berhubung perkara tersebut namun sehingga kini tiada sebarang maklum balas yang kami perolehi dari pihak MDK. Disebabkan itu kami berpandangan perkara ini perlu disebar melalui media dan berharap pihak-pihak yang berkenaan mengambil inisiatif bagi membendung perkara ini dari terus berlaku sebelum ia menjadi lebih buruk di masa akan datang.

SAM khuatir jika masalah ini tidak ditangani dengan segera maka impak terhadap alam sekitar dan kesihatan awam akan bertambah buruk. Justeru SAM berharap agar tindakan bersepadu dan  tinjauan yang kerap perlu dilakukan oleh pihak-pihak terbabit agar masalah ini dapat dibendung dari masa ke masa. Lawatan lapangan juga perlu dilakukan agar pihak-pihak yang sesuka hati membuang sampah di kawasan berkenaan akan was-was kerana kehadiran pihak-pihak berkuasa.

Sehubungan dengan ini SAM menggesa agar pihak yang bertanggungjawab mengambil tindakan segera bagi menangani dan menyelesaikan masalah longgokan sampah di sini dan kawasan luar bandar dan terpinggir di Malaysia.

 

 

Meenakshi Raman
Presiden
Sahabat Alam Malaysia

Kenyataan Media, 5 Disember 2024