Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Kedah dan Jabatan Perhutanan mengambil tindakan tegas bagi mengatasi masalah pencerobohan hutan simpan di negeri itu yang serius berlaku ketika ini.
CAP kesal dan bimbang dengan kejadian tersebut kerana ia bukan saja memusnahkan biodiversiti kawasan hutan yang terlibat tetapi juga boleh mencetuskan bencana alam dan menjejaskan kehidupan penduduk di negeri ini.
Mengulas laporan Bernama bertarikh 12 September 2021 mengenai perkara tersebut, CAP meminta Jabatan berkenaan menguatkuasakan Akta Perhutanan Negeri 1984 dengan tegas tanpa memberi sebarang pertimbangan kepada mereka yang disabitkan melakukan perbuatan itu.
Menurut Pengarah Perhutanan Kedah Muhamad Abdullah, sejumlah 3,500 hektar Hutan Simpan di negeri ini dikesan diteroka secara haram sejak 2011 oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan melaksanakan projek pertanian seperti kelapa sawit, getah, durian dan membina kawasan penempatan.
CAP mempersoalkan bagaimana aktiviti ini boleh berlaku dalam jangka masa yang begitu lama serta melibatkan kawasan Hutan Simpan yang luas tanpa tindakan segera dan berkesan diambil oleh mana-mana pihak berkaitan.
Justeru CAP berharap siasatan turut dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mengenal pasti kemungkinan terdapat unsur-unsur rasuah dalam perkara ini.
Kenyataan Akhbar, 13 September 2021