Bahan Kimia Toksik dalam Krim Pencerahan Kulit Lelaki

EcoWaste Coalition terus menggesa agar pengharaman global terhadap kosmetik ditambah merkuri dikuatkuasakan sepenuhnya untuk melindungi kesihatan manusia dan alam sekitar.

Merkuri toksik bukan sahaja terdapat di dalam krim penjagaan kulit wanita, ia juga terdapat di dalam produk penjagaan kulit lelaki. Ujian terbaharu di Filipina telah menemui neurotoksin yang kuat ini dalam krim pencerahan untuk lelaki.

Kumpulan pemerhati toksik Ecowaste Coalition menemui paras kimia yang tinggi dalam dua jenama krim buatan Pakistan yang dibeli dalam talian iaitu Chandni Whitening Cream Men’s (bungkusan biru) dan Arena Gold Fairness Cream untuk Lelaki.

Berdasarkan ujian saringan X-Ray Fluorescence (XRF) yang dijalankan oleh kumpulan itu, Chandni mempunyai 21,430 bahagian per sejuta (bps) merkuri, dan Arena Gold 30,130 bps.

Chandni Whitening Cream Men’s, yang diiklankan sebagai “penyelesaian pencerahan yang sempurna untuk lelaki, mendakwa “penggunaan biasa meremajakan kulit dan memberikan cahaya muda”. Ia seterusnya mendakwa ia “sesuai untuk semua jenis kulit dan tidak menyebabkan sebarang kesan sampingan” walaupun mengandungi 21,430 bps merkuri. Produk ini dihasilkan pada Mei 2025.

Dihasilkan pada Jun 2025, Arena Gold Fairness Cream untuk Lelaki, seperti yang tertulis pada labelnya, “adalah formula khusus untuk kulityang dirumus untuk dipadankan dengan gaya hidup lelaki, membersihkan secara mendalam pori-pori kulit lelaki yang keras tanpa meninggalkannya kering”.

Kedua-dua produk itu menyenaraikan ramuannya pada pembungkusan. Walau bagaimanapun, merkuri atau sebatiannya tidak dijumpai dalam senarai walaupun paras merkuri tinggi ditemui dalam sampel yang dianalisis.

Ujian itu dilakukan oleh Ecowaste Coalition sebagai sebahagian daripada kerja advokasinya untuk melindungi kesihatan awam dan alam sekitar daripada bahan kimia toksik. Berdasarkan penemuan mereka, kumpulan itu kini menggesa platform e-dagang dan media sosial untuk mengeluarkan penyenaraian untuk pencerah kulit beracun dan bercampur merkuri dan memastikan pembelian dalam talian bebas merkuri.

Semakan CAP menunjukkan bahawa kedua-dua produk ini juga boleh didapati dalam talian di Malaysia. Pihak berkuasa kita perlu menganalisis produk ini dan kosmetik lain yang dijual di sini untuk kehadiran merkuri dan bahan kimia toksik lain, dan mengharamkannya jika perlu. Sementara itu, pengguna dinasihatkan untuk mengelak daripada membeli dua produk itu.

Krim pencerahan buatan Pakistan untuk lelaki ini mengandungi paras merkuri yang tinggi, bahan kimia toksik yang diharamkan secara global dalam kosmetik.

Melanggar Perjanjian Global

Paras merkuri bagi krim muka Chandni dan Arena Gold yang dianalisis secara terang-terangan melanggar perjanjian global untuk menamatkan penggunaan merkuri dalam kosmetik, kata EcoWaste Coalition.

Di bawah Konvensyen Minamata mengenai Merkuri, pihak-pihak dikehendaki menghentikan secara berperingkat pembuatan, import dan eksport kosmetik yang ditambah merkuri seperti krim pencerah kulit dan sabun, dengan 2020 sebagai tarikh akhir penghapusan secara berperingkat asal. Pada 2023, Persidangan Para Pihak bersetuju untuk mengharamkan pengeluaran dan perdagangan semua kosmetik yang ditambah merkuri menjelang 2025.

Risiko Kesihatan Tinggi

“Lelaki yang menggunakan produk tanpa kebenaran ini untuk mencerahkan kulit mereka secara tidak sedar mendedahkan diri mereka kepada merkuri iaitu bahan kimia yang sangat toksik yang diketahui menyebabkan kerosakan kepada kesihatan saraf, buah pinggang, reproduktif dan kulit,” kata Aileen Lucero, Penyelaras Kebangsaan, EcoWaste Coalition.

Penganalisis X-Ray Fluorescence (XRF) berfungsi sebagai alat pemeriksaan yang berkesan untuk menentukan sama ada sampel mengandungi merkuri.

“Lelaki, serta wanita, yang menggunakan krim pencerah kulit yang sarat dengan merkuri juga mendedahkan dan membahayakan orang di sekeliling mereka. Bayi, kanak-kanak dan bukan pengguna lain juga boleh terjejas teruk dengan menyedut wap merkuri daripada produk tercemar atau dengan menyentuh bahan seperti peralatan tempat tidur dan tuala yang tercemar dengan merkuri,” katanya.

Menurut Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP), merkuri ditambah kepada beberapa produk pencerah kulit “untuk menyekat pengeluaran melanin, yang membawa kepada warna kulit yang lebih cerah”, menyenaraikan “kerosakan buah pinggang dan hati, masalah saraf, dan masalah perkembangan pada kanak-kanak” antara kesan kesihatannya.

Gejala pendedahan merkuri mungkin termasuk gegaran yang tidak terkawal, perubahan personaliti secara tiba-tiba, masalah tidur dan kemerosotan ingatan. Ia juga boleh menyebabkan masalah pendengaran dan penglihatan, defisit perhatian, dan rasa yang berubah. Pendedahan yang tinggi boleh mengakibatkan kegagalan buah pinggang.

Kekal Semulajadi, Kekal Selamat

Untuk mengelakkan pendedahan merkuri melalui penggunaan produk pencerah kulit yang tercemar, pengguna wanita dan lelaki dinasihatkan untuk:
● Sayangi kulit anda dan katakan tidak kepada produk pelunturan, pencerahan atau pemutihan kulit.
● Jika sumber produk atau ramuannya tidak jelas, jangan beli atau gunakannya.
● Tolak produk dengan label yang tidak betul dan produk yang mempunyai maklumat yang anda tidak faham.
● Elakkan kosmetik yang tidak dibenarkan, diharamkan atau yang ditandakan atau disenaraihitamkan.
● Hentikan penggunaan kosmetik yang ditambah merkuri, buang dengan selamat, dan dapatkan penilaian dan nasihat perubatan.