Sahabat Alam Malaysia (SAM) amat kecewa kerana gesaan kami supaya suruhanjaya siasatan awam (COI) berhubung kejadian banjir di Baling, Kedah telah ditolak oleh kerajaan negeri Kedah, serta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KETSA).
Pada hari Rabu, 6 Julai, SAM telah menggesa kerajaan negeri Kedah mengadakan COI bagi mengetahui punca banjir di Baling. Kami membuat seruan ini untuk mengelak satu lagi tragedi seperti ini, dan bukan hanya menyalahkan alam, terutamanya kerana intensiti dan kekerapan hujan yang luar biasa akibat perubahan iklim akan menjadi masalah yang berulang.
Banjir di Baling bukan sahaja mengorbankan tiga nyawa, malah ratusan rumah dan harta benda penduduk kampung berhampiran Gunung Inas rosak, selain mengakibatkan gangguan bekalan air kepada pengguna di Kedah dan Pulau Pinang disebabkan air Sungai Muda yang keruh.
Menteri Besar (MB) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor, pada mulanya memberi maklum balas bahawa punca banjir adalah disebabkan “fenomena kepala air” dengan pengumpulan air di hulu berikutan hujan, sama seperti tragedi Gunung Jerai pada tahun lalu.
Sejak itu, MB dilaporkan menimbulkan persoalan mengenai pembangunan ladang durian Musang King oleh syarikat usaha sama di Gunung Inas, termasuk sama ada laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA) dilakukan sebelum projek perladangan durian besar-besaran itu dimulakan.
Menurut laporan media, Sanusi berkata bahawa “pentadbirannya tidak pasti tentang bagaimana (a) projek tersebut telah mendapat kelulusan, yang mendorong pentadbirannya mengeluarkan perintah berhenti kerja kepada syarikat tersebut pada Julai 2020” dan bahawa dia percaya “bahawa setiap projek perladangan memerlukan EIA (laporan). Bagaimanakah laporan EIA ini diluluskan? Terdapat peraturan dalam undang-undang yang menyatakan bahawa mana-mana kawasan tanah tinggi melebihi 1,000 kaki (304 meter) tidak boleh disentuh.”
Walaupun kami mengalu-alukan soalan dan tindakan yang diambil oleh MB dalam mengeluarkan perintah berhenti kerja, apa yang perlu diketahui ialah sama ada langkah susulan telah diambil terhadap syarikat untuk memastikan mereka bertanggungjawab dan jika sebarang langkah pencegahan telah diambil untuk memulihkan tanah yang telah dibersihkan di cerun setinggi itu?
Atas sebab inilah SAM menyeru COI, untuk mengemukakan semua soalan yang betul dan mendapatkan jawapan yang diperlukan.
Sanusi berkata COI seperti itu tidak diperlukan, memandangkan pelbagai agensi kerajaan yang terlibat sedang menyediakan laporan mereka berhubung insiden itu.
SAM berpandangan bahawa menyediakan laporan sebegitu dan menyerahkan kepada MB sahaja tidak mencukupi.
Orang ramai perlu tahu apa yang berlaku dan mengapa ia berlaku dan siapa yang bertanggungjawab terhadap kemusnahan dan kematian yang telah berlaku.
MB Kedah perlu telus dalam hal ini, dan bertanggungjawab kepada orang ramai.
Kesemua fakta mesti dibongkar. Tidak cukup untuk menyalahkan kerajaan terdahulu atas sebarang tindakan atau kerana tidak bertindak. Kerajaan ini mesti memperbetulkan apa yang salah.
Apa yang diperlukan ialah tindakan tegas diambil terhadap semua pihak yang bertanggungjawab terhadap jenayah alam sekitar dan kecuaian mereka.
Oleh itu SAM menyeru MB Kedah untuk mendedahkan semua penemuan dan memulihkan keyakinan orang ramai terhadap pentadbiran negeri.
Kita mesti mengelak tragedi seperti ini daripada berlaku di masa depan dengan melindungi ekosistem yang sensitif kepada alam sekitar, seperti bukit dan gunung, dan tidak membenarkan apa-apa jenis projek perladangan di kawasan ini.
Langkah-langkah pemulihan segera diperlukan di Hutan Simpan Gunung Inas.
Meenakshi Raman
Presiden
Sahabat Alam Malaysia
Siaran Media, 8 Julai 2022