Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) untuk membatalkan pelantikan Abdul Kadir Din, yang baru-baru ini dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), berikutan kebimbangan mengenai kemungkinan percanggahan kepentingan, memandangkan kaitannya dengan syarikat swasta yang terlibat dengan perkhidmatan air dan pengurusan sisa.
Menurut laporan media baru-baru ini, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata Pengerusi SPAN yang baharu dilantik itu telah meletakkan jawatannya daripada syarikat-syarikat terbabit.
Laporan media menyatakan bahawa Kadir adalah Pengarah Urusan Sacra Sol Sdn Bhd, sebuah syarikat pengurusan sisa dan juga penasihat kepada Ranhill Holdings Bhd, yang dikaitkan dengan Ranhill SAJ Sdn Bhd, sebuah syarikat yang menguruskan perkhidmatan air di Johor.
Pada pandangan kami, peletakan jawatan Kadir daripada syarikat-syarikat ini tidak memberikan keselesaan dan jaminan yang mencukupi, kerana kemungkinan atau persepsi potensi percanggahan kepentingan kekal di mata umum, memandangkan hubungan Pengerusi dengan syarikat-syarikat ini.
Untuk tadbir urus yang baik dan integriti SPAN dalam menjalankan fungsinya tanpa rasa takut atau pilih kasih, mana-mana Pengerusi atau ahli Suruhanjaya mestilah bebas dan tidak mempunyai sebarang perhubungan dengan industri perkhidmatan bekalan air atau pembetungan.
Ini kerana SPAN bertujuan menjadi badan bebas untuk menyelia dan mengawal selia bekalan air dan perkhidmatan pembetungan, yang merupakan fungsi penting untuk dilaksanakan demi kepentingan awam, dan bebas daripada pengaruh kepentingan peribadi.
SPAN mestilah mendapat keyakinan orang ramai bahawa ia mampu melaksanakan pembaharuan yang diperlukan untuk sektor air yang mampan, selamat dan berdaya tahan, yang bersedia untuk menghadapi cabaran perubahan iklim, memastikan kecekapan operasi, membolehkan tadbir urus yang baik dan bebas daripada rasuah.
SAM memuji usaha pengerusi terdahulu Charles Santiago dalam menetapkan hala tuju dan asas yang betul bagi pembaharuan yang perlu dilakukan, dan kami berasa amat kesal kerana perkhidmatan beliau tidak diteruskan.
Memandangkan kebimbangan dan kontroversi semasa mengenai pelantikan pengerusi baharu ini, kami mengulangi gesaan agar pelantikan Kadir dibatalkan, dan menggesa Perdana Menteri untuk mengambil bahagian dan memudahkan pelantikan pengerusi bebas yang tidak ada sebarang kaitan dengan sektor perkhidmatan air dan pembetungan.
Meenakshi Raman
Presiden,
Sahabat Alam Malaysia (SAM)
Kenyataan Akhbar, 9 Mei 2025