Beralih kepada Organik: Hentikan Penggunaan Sungkup Plastik

Presiden CAP, Mohideen Addul Kader (tengah) menunjukkan sungkupan bersama pegawai CAP.

Sempena Bulan Sifar Sisa Antarabangsa (IZWM), Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) ingin meningkatkan kesedaran mengenai kesan penggunaan sungkup plastik dalam pertanian dan menggesa petani serta pekebun untuk menggunakan kaedah sungkupan organik. Tumpuan IZWM tahun ini adalah kepada pengurusan sisa organik yang inovatif untuk mengurangkan kehilangan dan pembaziran makanan, sisa, serta pelepasan metana.

Sungkupan dengan bahan dari kebun di kebun bandar CAP.

Sungkup adalah lapisan bahan yang digunakan di permukaan kawasan tanah untuk memelihara kelembapan, meningkatkan kesuburan dan tanah yang sihat serta mengurangkan pertumbuhan rumput. Secara tradisional, sungkupan dilakukan menggunakan daun kering, pokok-pokok yang dipangkas dan pokok renek, jerami padi, potongan rumput kering, ranting, kulit kayu dan bahan organik lain. Walau bagaimanapun, sejak pengenalan sungkup plastik pada tahun 1950-an, ia telah menjadi komponen dalam pertanian moden, dan telah mendedahkan kita kepada risiko kesihatan dan alam sekitar yang besar.

Sungkupan dengan daun kering, rumput yang potong di kebun CAP.

Jenis sungkup sintetik yang paling biasa digunakan adalah plastik hitam pertanian dan plastik supershine. Kebanyakan sungkup sintetik ini mengandungi polietilena ketumpatan rendah (LDPE), iaitu resin sintetik yang menimbulkan kebimbangan alam sekitar yang serius. Polietilena mengambil masa ratusan tahun untuk terurai, bergantung pada faktor persekitaran seperti kelembapan, haba, cahaya dan aktiviti mikrob. Semasa penguraian, ia melepaskan mikroplastik yang mengganggu aktiviti enzimatik dan mikrob tanah. Akibatnya, sungkup plastik akan memberi kesan negatif terhadap pertumbuhan dan produktiviti tanaman.

Sungkupan dengan rumput yang dipotong.

Penggunaan sungkupan plastik menjejaskan alam sekitar kerana ia melepaskan mikroplastik ke dalam tanah, merosakkan mikroorganisma tanah dan mengurangkan produktiviti. Ia juga membawa kesan kepada kesihatan kerana polietilena mengandungi ftalat, bahan kimia yang mengganggu endokrin yang membahayakan sistem reproduktif, neurologi dan perkembangan manusia.

Sungkupan dalam pasu.

Oleh itu, CAP menggesa petani untuk beralih kepada sungkup organik. Sungkup organik dibuat daripada bahan-bahan yang terdapat dalam alam semula jadi dan biasanya diuraikan kepada sebatian yang lebih mudah oleh mikroorganisma tanah. Sungkupan organik menawarkan beberapa manfaat alam sekitar dan kesihatan. Ia menambah baik struktur tanah, meningkatkan pengekalan kelembapan, mengurangkan hakisan, dan menyediakan nutrien penting semasa penguraian.

Dengan mengawal rumpai serta suhu tanah, sungkupan organik meningkatkan kesuburan dan produktiviti tanaman. Ia juga menyokong biodiversiti, menggalakkan ekosistem yang sihat bagi mikrob dan serangga yang bermanfaat. Dari sudut kesihatan, sungkupan organik menyumbang kepada pengeluaran makanan yang lebih selamat dengan mengelakkan bahan kimia berbahaya yang terdapat di dalam sungkup plastik. Sungkupan organik adalah bebas toksin, meningkatkan nilai pemakanan tanaman dan mengurangkan risiko pencemaran bahan kimia dalam rantaian makanan.

Sungkupan dalam pasu. Sungkupan tanaman pendamping.
Pudina ditanam bersama terung sebagai sungkupan tanaman pendamping.

CAP menggalakkan beberapa jenis sungkupan seperti sungkupan hijau; menggunakan sungkupan organik dengan sumber yang dikumpulkan dari ladang atau kebun seperti daun, kulit kayu, serpihan kayu, jerami dan sekam. Tanaman pendamping yang sesuai akan berfungsi sebagai sungkup hidup dan menggunakan sayur-sayuran berdaun sebagai tanaman selingan juga boleh membantu petani mengawal rumpai. Penggunaan bahan sungkupan organik di dalam pasu akan memberi manfaat kepada pekebun bandar untuk mengekalkan kelembapan dan kesuburan tanah.

Sungkup plastik adalah salah satu sumber utama pencemaran mikroplastik dalam ekosistem pertanian dan menyebabkan kesan buruk terhadap alam sekitar serta menimbulkan risiko kesihatan. Oleh itu, kami menggesa petani untuk beralih kepada sungkupan organik.

 

 

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Kenyataan akhbar, 23 Januari 2025

 

Untuk maklumat lanjut mengenai kesan sungkupan, anda boleh memuat turun risalah CAP di
https://consumer.org.my/ms/bagaimana-sungkupan-plastik-dalam-pertanian-merosakkan-alam-sekitar/