BERTUKAR KEPADA MAKANAN YANG LEBIH SIHAT UNTUK MENCEGAH PENYAKIT

(Gambar: @calorietipes)

Adakah makanan harian anda tinggi dengan gula, lemak tidak sihat, dan karbohidrat halus? Ini boleh membahayakan kesihatan jika dimakan dengan kerap dan membawa kepada beberapa keadaan kesihatan kronik. Makanan seperti itu juga tidak sesuai bagi penghidap diabetes, atau masalah jantung dan berat badan.

Mengapa tidak menukar makanan itu dan bahan masakan yang kurang sihat dengan alternatif yang lebih berkhasiat dan sihat? Ini boleh memberikan lebih sedikit kalori, kurang kolesterol dan paras gula darah yang lebih stabil. Jika anda berlebihan berat badan atau obes, perubahan diet mudah ini boleh menyebabkan penurunan berat badan dan mengurangkan risiko bagi  penyakit jantung, diabetes, kanser dan penyakit lain.

Berikut adalah beberapa idea penggantian makanan yang mudah.

> GANTIKAN beras putih (bijirin halus yang boleh meningkatkan gula darah dan ia tidak baik bagi pesakit kencing manis) dengan beras perang yang mempunyai lebih banyak serat dan nutrien.

> GUNAKAN herba segar, rempah ratus, cuka dan jus lemon sebagai ganti garam untuk menyedapkan makanan. Garam mengandungi natrium; makan terlalu banyak natrium boleh menyebabkan tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan strok.

> TINGGALKAN soda (iaitu minuman ringan) bagi air kosong. Soda mengandungi gula yang tinggi dan dikaitkan dengan peningkatan risiko diabetes, obesiti, sindrom metabolik dan penyakit hati berlemak.

> SEBAGAI GANTI gula-gula (yang tinggi kandungan gula, bahan kimia tiruan, pengawet, dan kalori), ambil sepotong buah sebagai snek. Buah-buahan mempunyai vitamin dan mineral penting serta serat dan antioksidan yang meningkatkan kesihatan.

> TUKAR ubi putih dengan keledek untuk menurunkan berat badan. Ubi keledek mengandungi serat yang tinggi, yang membuatkan anda berasa kenyang selepas makan, membantu mengekalkan diet terhad kalori.

> BERTUKAR daripada makan bijirin kepada oat. Bijirin kotak sangat terproses, sering dibungkus dengan gula tambahan dan karbohidrat halus. Oat mengandungi sejenis serat larut, dipanggil beta glukan, yang merendahkan paras glukosa dan kolesterol dalam darah, sekali gus mengurangkan risiko penyakit jantung dan diabetes. Beta glukan juga menggalakkan bakteria usus yang sihat dan kesihatan usus.

> GANTIKAN mentega (yang tinggi lemak tepu) dengan avokado (yang mengandungi lemak monotaktepu yang menyihatkan jantung yang merendahkan kolesterol jahat dan mengekalkan kolesterol baik). Setengah cawan mentega adalah 813 kalori, jumlah yang sama dengan avokado lenyek hanya 184. Avokado juga mempunyai lebih banyak protein dan serat tambahan; dan ia kaya dengan vitamin B, serta folat, kalium, Vitamin E, dan Vitamin K yang tidak ada pada mentega.

Keputusan kecil mengenai pilihan makanan boleh membuat perubahan besar kepada kesihatan anda dalam jangka panjang.