Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri dan Kementerian serta agensi yang berkaitan pada 22 Julai 2024, mengulangi gesaan kami bagi pengharaman sepenuhnya semua bentuk asbestos. CAP telah membuat gesaan yang sama untuk mengharamkan asbestos melalui memorandum yang dikemukakan pada Mei 2001 dan tuntutan seterusnya adalah melalui surat, perbincangan dan perundingan dengan pelbagai pihak berkuasa.
Asbestos ialah sekumpulan mineral silikat semula jadi yang terdiri daripada serat panjang, nipis, dengan bentuk dan warna yang berbeza. Mineral asbestos terbahagi kepada dua kumpulan: Serpentine, yang merangkumi chrysotile (asbestos putih) dan Amphibole, yang mana termasuk amosite (asbestos perang), tremolite, actinolite, anthophyllite, dan crocidolite (asbestos biru). Asbestos Chrysotile adalah yang paling biasa digunakan pada masa ini.
Bahan yang mengandungi asbestos telah digunakan dalam lebih daripada 3,000 produk perkilangan. Antaranya ialah produk simen asbestos, bahan kepingan gasket, bahan geseran, tekstil tahan haba, paip, dan lain-lain lagi. Pada kemuncaknya pada 1970-an, pengeluaran asbestos global adalah setinggi 4.8 juta tan metrik. Pada tahun 2023, pengeluaran lombong asbestos dunia dianggarkan kira-kira 1.3 juta tan metrik. Berjuta-juta tan metrik asbestos masih terdapat dalam bangunan dan produk di seluruh dunia.
Semua jenis asbestos cenderung untuk pecah menjadi serat yang sangat kecil, hampir mikroskopik. Sebahagian daripadanya mungkin sehingga 700 kali lebih kecil daripada rambut manusia. Daripada kajian terhadap orang yang terdedah kepada asbestos di kilang dan limbungan kapal, diketahui bahawa menyedut serat asbestos boleh menyebabkan peningkatan risiko kanser paru-paru, mesotelioma, kanser pada lapisan dada dan rongga perut; dan asbestosis, di mana paru-paru menjadi berparut dengan tisu berserabut.
Pakar perubatan menyimpulkan bahawa tidak terdapat paras pendedahan yang selamat kepada serat asbestos. Asbestos ditakrifkan sebagai karsinogen Kumpulan I oleh Agensi Antarabangsa bagi Penyelidikan Kanser (IARC). Terdapat bukti yang jelas dan tidak berbelah bahagi lagi mengenai kanser dan risiko penyakit lain yang dikaitkan dengan penggunaan asbestos secara berterusan. Bukti terus menunjukkan bahawa beban penyakit berkaitan asbestos kepada negara adalah secara langsung dengan penggunaan asbestos.
Pada 2006, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menggesa semua negara mengharamkan penggunaan asbestos kerana kebimbangan bahawa pekerja terus berdepan dengan risiko serius daripada pendedahan kepada asbestos, terutamanya dalam penyingkiran asbestos, kerja-kerja meroboh, penyelenggaraan bangunan, pemecahan kapal dan aktiviti pengendalian bahan buangan. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga telah berulang kali menyatakan bahawa ‘cara yang paling berkesan untuk menghapuskan penyakit berkaitan asbestos adalah dengan berhenti menggunakan semua jenis asbestos’.
Tidak terdapat perlombongan atau pengilangan asbestos di Malaysia. Aktiviti komersial utama terhad kepada pembuatan produk asbestos, untuk dijual di pasaran domestik dan eksport. Jadual Pertama Perintah Kastam (Larangan Import) 2012 melarang pengimportan crocidolite, actinolite, anthophyllite, amosite, tremolite.
Walau bagaimanapun, asbestos chrysotile masih dibenarkan untuk diimport dan digunakan dalam sektor pembuatan di bawah konsep “penggunaan secara terkawal”. Data perdagangan yang disusun oleh Asia Ban Asbestos Network (A-BAN) mendedahkan bahawa pada 2022, pengeksport utama serat asbestos ke Malaysia ialah Rusia manakala Indonesia adalah pengeksport utama simen asbestos ke Malaysia, berjumlah 4,322 tan.
Bilangan kes mesotelioma di Malaysia ialah 27 pada 2022 dan diunjurkan meningkat kepada 51 pada 2045 oleh Global Cancer Observatory. Tempoh pendam bagi mesotelioma biasanya antara tiga puluh hingga lima puluh tahun, daripada permulaan pendedahan kepada asbestos. Rawatan bagi mesotelioma setakat ini adalah keberkesanan yang sangat terhad. Secara purata, pesakit yang menghidap mesotelioma bertahan hidup selama kira-kira lapan belas bulan hingga dua tahun selepas diagnosis.
Menurut saranan WHO, cara paling berkesan untuk menghapuskan penyakit berkaitan asbestos adalah melalui pengharaman sepenuhnya penggunaan, pengeluaran dan perdagangan semua bentuk bahan itu. Sekretariat Pengharaman Asbestos Antarabangsa (IBAS) melaporkan bahawa 69 negara telah mengharamkan asbestos setakat Oktober 2022. Dalam sesetengah kes, ada negara tidak mengharamkan asbestos secara rasmi tetapi telah meratifikasi konvensyen ILO yang bertujuan untuk melindungi pekerja dan mencegah penyakit berkaitan asbestos.
Penggunaan asbestos di Malaysia mestilah diharamkan untuk menghapuskan beban penyakit dan kematian yang disebabkan oleh pendedahan kepada asbestos. Banyak negara telah mengharamkan atau menghapuskan asbestos secara berperingkat kerana bimbangkan kesihatan awam dan liabiliti yang berkaitan dengan asbestos. Semua penyakit dan kematian yang berkaitan dengan asbestos boleh dicegah sepenuhnya dan pengganti yang lebih selamat untuk asbestos memang wujud.
Antara cadangan dalam memorandum CAP ialah Malaysia mengenakan pengharaman sepenuhnya ke atas semua bentuk asbestos, khususnya chrysotile yang masih belum dilarang di Malaysia. Pihak berkuasa perlu mengenal pasti produk pengguna yang mengandungi asbestos dan menghentikan sebarang pengimportan produk yang mengandungi asbestos, di samping fasa keluar dan mengharamkan asbestos dengan segera dalam produk pengguna tempatan.
Kita perlu meningkatkan kesedaran dalam kalangan pekerja dan pengguna mengenai bahaya asbestos serta pengendalian produk yang mengandungi asbestos dengan betul. Panduan perlu disediakan bagi prosedur permohonan bagi membuang asbestos dengan mematuhi Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Penggunaan dan Standard Pendedahan Bahan Kimia Berbahaya kepada Kesihatan) 2000.
Malaysia sepatutnya sudah lama mengharamkan asbestos. Kita tidak boleh menunggu lebih lama lagi dan mengorbankan lebih banyak nyawa.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Kenyataan Akhbar, 23 Julai 2024
Baca memorandum di sini:
https://consumer.org.my/wp-content/uploads/2024/07/2024-CAP-Memorandum_Ban-Asbestos_BM.pdf