Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Kedah dan Syarikat Air Darul Aman (SADA) menyiasat dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah ketiadaan bekalan air paip yang dihadapi enam keluarga di Kampung Padang Durian daerah Pendang di sini.
Telah sekian lama mereka yang terlibat terpaksa menggunakan air telaga yang kotor dan berkelodak untuk kegunaan harian walau pun keadaan itu menimbulkan rasa bimbang dan curiga kesan buruk yang akan berlaku.
CAP dalam tinjauan yang dibuat mendapati air telaga yang digunakan penduduk kampung tersebut keruh dan berwarna kuning. Keadaan ini menjadi lebih serius ketika hujan di mana ia kelihatan seperti teh susu akibat dicemari sisa lumpur.
Seorang penduduk, Siti Mariam Omar, 36 berkata pakaian sekolah anaknya yang berwarna putih akan bertukar warna selepas dibasuh menggunakan air telaga yang tercemar itu. Manakala untuk memasak dan minum, beliau terpaksa menakung air telaga tersebut terlebih dulu sebelum menggunakannya supaya sisa kotoran mendap.
Beliau merayu supaya masalah ini diberi perhatian segera oleh pihak berwajib kerana penduduk kampung lain yang berhampiran sudah lama menikmati kemudahan bekalan air paip untuk kegunaan harian.
Ridzuan Morad, 52, mendakwa ia telah membelanjakan lebih RM3,000 setelah tujuh buah pam air yang dibeli bagi mengepam air telaga dirumahnya mengalami kerosakan. Menurutnya, masalah ini pernah diadukan kepada pihak berkenaan tetapi tidak ada tindakan yang diambil.
CAP percaya jika masalah ini terus membelenggu kehidupan penduduk-penduduk kampung tersebut adalah dibimbangi kesihatan mereka terancam oleh sisa racun dari kawasan sawah berdekatan yang mungkin menyerap masuk ke dalam telaga.
Justeru itu adalah perlu masalah ini ditangani segera oleh kerajaan Kedah dan SADA sebelum kejadian tidak di ingini berlaku.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Kenyataan Media, 8 Ogos 2022
Sila hulurkan sumbangan anda di https://consumer.org.my/ms/make-a-donation-malay/