BUNGA KANTAN: Khasiat, Kegunaan & Cara Menanam

Tahukah anda bunga kantan bukan sahaja menjadi bahan penting dalam masakan seperti laksa dan nasi ulam, malah pokoknya juga mudah ditanam di kawasan rumah jika mengetahui teknik yang betul?

Tanaman herba ini, yang dikenali secara saintifik sebagai Phaeomeria speciosa, merupakan tumbuhan tropika yang dipercayai berasal dari Malaysia dan boleh mencapai ketinggian sekitar 4 hingga 5 meter apabila matang.

Pokok kantan tumbuh subur di kawasan tanah lembap dan kaya dengan bahan organik. Ia lebih sesuai ditanam di kawasan yang mempunyai sedikit teduhan serta kelembapan yang baik.

Secara semula jadi, pokok ini sering ditemui tumbuh di kawasan tepi sungai atau kawasan yang lembap, menjadikannya tanaman yang sesuai untuk kebun rumah atau kawasan pertanian kecil.

Dari segi pembiakan, pokok kantan biasanya ditanam menggunakan rizom (ubi) atau biji benih. Bagi memastikan pertumbuhan yang baik, jarak tanaman sekitar 1 hingga 2 meter antara pokok disarankan supaya pokok dapat berkembang secara optimum.

Pokok ini akan tumbuh secara berumpun dengan batang bulat serta daun panjang berwarna hijau. Pokok kantan biasanya mula mengeluarkan bunga selepas kira-kira setahun tempoh penanaman.

Bagi mendapatkan hasil yang berkualiti, bunga kantan perlu dipetik ketika masih belum berkembang sepenuhnya dengan memotong pada bahagian pangkal batang.

Selain digunakan dalam masakan, pokok kantan juga mempunyai pelbagai kegunaan tradisional. Batangnya dipercayai digunakan sebagai ubat tradisional untuk masalah bengkak, manakala buahnya dikatakan boleh membantu merangsang selera makan.

Ingin mengetahui dengan lebih jelas tentang keperluan penanaman, kegunaan serta cara memetik bunga kantan dengan betul? Rujuk infografik di bawah untuk panduan lengkap menanam kantan.

Sumber: Jabatan Pertanian Malaysia