Cadangan hukuman berat baik, tetapi banyak lagi yang perlu dilakukan untuk hentikan pencemar

Sejak 2019, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan supaya meminda undang-undang bagi memastikan pesalah yang mencemarkan sumber air kita dihukum dengan lebih berat. Oleh itu, kami mengalu-alukan keputusan dan usaha Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim untuk meminda Akta Industri Air 2006 untuk memasukkan hukuman yang lebih berat kepada pencemar.

Hukuman semasa yang mengenakan denda RM100,000.00 dan/atau penjara setahun tidak memadai untuk menjadi pencegahan. Pindaan baharu itu akan mengenakan denda maksimum RM10 juta dan/atau penjara 15 tahun adalah lebih wajar.

Namun begitu, pindaan yang dicadangkan ini tidak cukup untuk menghentikan pencemaran air yang sedang berlaku. Pada tahun lepas sahaja terdapat banyak laporan mengenai keadaan banyak sumber air semula jadi kita (sungai dan tasik) yang teruk disebabkan oleh berlakunya pencemaran yang berleluasa. Beberapa contoh ini termasuklah:

  • Sisa babi yang dibuang ke dalam Sungai Rambai dan Tanjung Sepat telah mencemarkan air dan mengubahnya menjadi bahan enap cemar hitam.
  • Pembalakan yang tidak terkawal di Tasik Kenyir menyebabkan air tasik menjadi keruh dan berlumpur dengan serpihan kayu terapung di dalam air.
  • Perlombongan yang tidak terkawal di Tasik Biru Ibam menyebabkan air tasik menjadi keruh.
  • Kilang yang mengeluarkan sisa buangan dan melepaskannya ke dalam Sungai Kabul.
  • Orang ramai yang membuang sampah harian mereka ke dalam sungai dan tasik di Johor Bahru.
  • Status Tasik Chini sebagai sebahagian daripada Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR) UNESCO menjadi tanda tanya kerana perlombongan, pembalakan dan penebangan hutan yang tidak terkawal bagi penanaman pokok kelapa sawit, menyebabkan kerosakan teruk kepada tasik dan flora serta fauna di sekitarnya.

Adalah amat jelas bahawa kita memerlukan lebih daripada denda yang lebih berat dan hukuman penjara yang lebih lama untuk menghentikan pencemaran kepada sumber air semula jadi kita daripada terus berlaku.

Sehubungan itu, CAP menggesa kerajaan juga turut menutup kilang-kilang yang melakukan kesalahan untuk selama-lamanya dan membatalkan lesen syarikat yang merosakkan alam sekitar dengan aktiviti mereka. Tambahan pula, kilang-kilang ini tidak boleh dibenarkan untuk menjalankan operasi mereka berdekatan dengan sungai atau mana-mana sumber air lain. Kerajaan juga perlu memastikan terdapat tenaga kerja yang mencukupi dan kakitangan yang cekap untuk menangani penguatkuasaan undang-undang.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Kenyataan Akhbar, 14 Mac 2023