Cadangan Trump Mengenai Gaza Dikutuk Sekeras-kerasnya: Kesan Besar Terhadap Alam Sekitar dan Keadilan Sosial

Penduduk Palestin melintasi Wadi Gaza yang kering ketika mereka pulang ke utara Gaza pada bulan lalu. Gambar: Ashraf Amra/Anadolu melalui Getty Images (melalui Yale Environment 360)

Sahabat Alam Malaysia (Friends of the Earth Malaysia), bersama Friends of the Earth Asia Pasifik mengutuk sekeras-kerasnya cadangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengenai cadangan ke atas Gaza baru-baru ini, yang akan membawa kesan buruk kepada alam sekitar dan keadilan sosial di rantau Timur Tengah.

Rancangan Trump yang dilaporkan itu, termasuk cadangan untuk memindahkan penduduk dan projek ekonomi yang berpotensi, mengabaikan krisis kemanusiaan dan ekologi yang teruk di Gaza. Apatah lagi, memindahkan secara paksa sekumpulan orang dari sesuatu kawasan adalah definisi pembersihan etnik. Ia melanggar undang-undang antarabangsa dan satu jenayah perang.

Kemusnahan yang disebabkan oleh pengeboman berterusan selama 15 bulan oleh tentera pendudukan Israel, termasuk pengeboman kawasan bandar, telah membawa kepada kemerosotan alam sekitar yang meluas, pencemaran air, dan kemusnahan tanah pertanian. Keadaan ini memburukkan lagi keadaan hidup yang sudah teruk bagi rakyat Palestin.

Kami menggesa masyarakat antarabangsa untuk menolak sebarang cadangan yang melanggar undang-undang antarabangsa dan tidak menghiraukan kebimbangan terhadap alam sekitar dan keadilan sosial. Jalan ke hadapan mestilah memberikan tumpuan kepada akauntabiliti, membina semula Gaza dengan penyelesaian yang mampan dan mesra alam di samping memastikan penghormatan terhadap hak asasi rakyatnya.

Amerika Syarikat (AS) mestilah bertanggungjawab kerana membolehkan kemusnahan alam sekitar berskala besar dilakukan oleh Israel, yang telah meracuni udara Gaza, mencemarkan bekalan airnya, dan melumpuhkan infrastruktur sanitasi dan penjagaan kesihatannya. Penyasaran yang disengajakan terhadap kemudahan air, grid kuasa, dan tanah pertanian adalah satu ecocide (kerosakan atau kehilangan ekosistem yang luas), dan menyebabkan berjuta-juta orang tanpa akses kepada air minuman bersih, mendedahkan mereka kepada penyakit, dan menjadikan kawasan yang luas itu tidak lagi dapat didiami. Ini bukan sekadar perang terhadap manusia sahaja, malah perang terhadap alam sekitar juga — dan ia akan membawa kesan jangka panjang terhadap kestabilan serantau dan iklim.

Pemindahan secara paksa rakyat Palestin di bawah rancangan Trump yang dilaporkan itu akan memburukkan lagi krisis ini, meningkatkan tekanan ke atas ekosistem yang rentan dan memburukkan lagi kekurangan air di kawasan itu. Sebarang usaha yang dipanggil “pembinaan semula” yang mengabaikan kebimbangan terhadap alam sekitar dan keadilan sosial hanya akan memperdalamkan lagi penderitaan rakyat Palestin.

Kami Menuntut Tindakan Segera:

1. Tamatkan Ketidakadilan Alam Sekitar. Israel dan sekutunya mestilah bertanggungjawab ke atas kemusnahan ekologi di Gaza, termasuk pencemaran udara dan air.
2. Akauntabiliti bagi Jenayah Perang Terhadap Alam Sekitar. Serangan ke atas infrastruktur penting merupakan pelanggaran undang-undang alam sekitar dan kemanusiaan antarabangsa.
3. Pembinaan Semula yang Mampan. Gaza mestilah dibina semula dengan tumpuan kepada air bersih, tenaga boleh diperbaharui, dan daya tahan iklim.
4. Menghormati Hak Asasi Manusia dan Keadilan. Masyarakat antarabangsa mestilah menolak sebarang cadangan yang mengekalkan pendudukan, pemindahan penduduk dan kemusnahan alam sekitar.

Dunia tidak boleh berdiam diri sementara bencana alam sekitar dan kemanusiaan berlaku. Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Friends of the Earth Asia Pasifik bersolidariti bersama dengan penduduk Gaza dan menggesa campur tangan global segera untuk menamatkan ketidakadilan yang amat parah ini.

Kami berdiri teguh bersolidariti bersama dengan penduduk Gaza dan menuntut penyelesaian segera, mampan dan adil kepada krisis ini.

 

 

Meenakshi Raman
Presiden
Sahabat Alam Malaysia (SAM)

Siaran Akhbar, 10 Februari 2025