
Plastik ada di mana-mana daripada pembungkusan hinggalah kepada elektronik. Sementara kami memberikan tumpuan kepada mengurangkan sisa plastik, krisis senyap sedang berlaku: pendedahan bahan kimia yang dihadapi oleh pekerja sisa plastik dan kitar semula. Kajian oleh International Pollutants Elimination Network (IPEN), Plastics Poison the Workplace: Chemical Exposures to Plastic Waste and Recycling Workers, baru-baru ini mendedahkan penemuan yang membimbangkan mengenai bahaya yang tersembunyi dalam industri kitar semula.
Plastik mengandungi beribu-ribu bahan kimia, kebanyakannya berasal daripada bahan api fosil. Sesetengahnya diketahui berbahaya, sementara kesan yang lain masih lagi tidak diketahui. Semasa pengendalian, kitar semula atau pelupusan, bahan kimia ini melarut resap ke dalam alam sekitar, mendedahkan pekerja dan komuniti kepada risiko kesihatan yang serius.
Untuk menyiasat risiko ini, kajian dijalankan di Thailand menggunakan gelang silikon untuk memantau pendedahan bahan kimia pekerja. 3 kumpulan mengambil bahagian:
- Pekerja sisa plastik (mengendalikan pengumpulan dan pengasingan)
- Pekerja kitar semula plastik (terlibat dalam mencarik dan memproses)
- Pekerja pejabat (kumpulan kawalan) (tiada pendedahan pekerjaan kepada sisa plastik)
Selama 5 hari, pekerja ini memakai gelang yang menyerap bahan kimia dari persekitaran mereka. Keputusannya amat membimbangkan.
Setiap peserta termasuk pekerja pejabat terdedah kepada sekurang-kurangnya 21 bahan kimia, dengan 14 bahan kimia ditemui dalam setiap gelang tangan. Walau bagaimanapun, tahap pendedahan berbeza dengan ketara:
- Pekerja sisa plastik dan kitar semula menghadapi pendedahan kimia yang paling tinggi.
- Pekerja kitar semula mempunyai paling banyak bahan kimia dalam gelang tangan mereka, ia menunjukkan risiko yang lebih besar.
- Malah pekerja pejabat, tanpa sentuhan langsung dengan sisa plastik, terdedah kepada bahan kimia berkaitan plastik, ia membuktikan bahawa pencemaran bahan kimia yang
Kajian itu mendedahkan risiko pendedahan bahan kimia yang ketara, menonjolkan sifat toksik kitar semula plastik. Di antara banyak bahan kimia yang dikesan, 4 kategori menimbulkan kebimbangan kesihatan yang paling serius: ftalat, alternatif ftalat, hidrokarbon aromatik polisiklik (PAH) dan kalis api organofosfat (OPFR). Bahan kimia ini, yang banyak terdapat dalam plastik, dikaitkan dengan bahaya kesihatan yang teruk, termasuk kanser, gangguan hormon, dan gangguan saraf.
Ftalat, yang biasanya digunakan untuk membuat plastik mudah lentur dan tahan lama, ditemui dalam semua gelang yang diuji dalam kajian itu. Bahan kimia ini dikesan pada kepekatan tertinggi, dengan pekerja plastik menghadapi pendedahan yang sangat teruk. Di antara ftalat paling berbahaya yang dikesan ialah DEHP, DiBP, dan DBP, yang kesemuanya adalah bahan kimia pengganggu endokrin (EDC) yang diketahui mengganggu keseimbangan hormon tubuh. Walaupun terdapat risiko yang didokumentasikan dengan baik, DEHP kekal tidak dikawal di banyak wilayah, termasuk sebahagian dari Asia, Afrika dan Amerika Latin, walaupun ia telah diharamkan bagi kegunaan tertentu di Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat, Australia dan China.

Dalam usaha untuk menggantikan ftalat yang dikawal, pengeluar telah memperkenalkan pemplastik alternatif seperti DEHA dan ToTM. Walau bagaimanapun, kajian mendapati bahawa pengganti ini sama berbahaya, menunjukkan masalah “penggantian yang dikesali” di mana satu bahan kimia toksik digantikan dengan bahan kimia lain yang menimbulkan risiko yang serupa atau bahkan tidak diketahui. Kitaran menggantikan bahan kimia berbahaya tanpa memastikan alternatif yang lebih selamat terus membahayakan pekerja dan pengguna.
Hidrokarbon Aromatik Polisiklik (PAH) ialah bahan kimia penyebab kanser yang dibebaskan apabila plastik terbakar atau terdegradasi. Bahan-bahan ini sangat toksik, menyumbang kepada kerosakan sistem imun, penyakit pernafasan, dan kesan karsinogenik jangka panjang. Kajian itu mendedahkan bahawa pekerja sisa plastik dan kitar semula mempunyai tahap pendedahan tertinggi, meletakkan mereka pada peningkatan risiko mendapat kanser dan keadaan kesihatan kronik yang lain.
Kalis api organofosfat (OPFR) ialah bahan kimia yang biasanya digunakan di dalam perabot, tekstil, elektronik dan plastik untuk mengurangkan mudah terbakar. Walau bagaimanapun, ia dikaitkan dengan gangguan perkembangan saraf, gangguan endokrin, dan ketoksikan pembiakan. Kajian mendapati bahawa pekerja kitar semula plastik mempunyai pendedahan tertinggi kepada OPFR, mungkin disebabkan oleh pengendalian bahan plastik lama yang mengandungi bahan kimia ini.
Kesan jangka panjang pendedahan kepada bahan kimia ini adalah amat teruk, bukan sahaja menjejaskan pekerja tetapi juga komuniti yang tinggal berhampiran dengan kemudahan kitar semula plastik. Kajian itu mengesahkan bahawa pendedahan bahan kimia berkaitan plastik dikaitkan dengan pelbagai isu kesihatan, ia termasuklah:
- Kanser, menjejaskan paru-paru, pundi kencing, payudara, dan buah zakar.
- Gangguan hormon, membawa kepada masalah kesuburan dan kecacatan kelahiran.
- Gangguan neurologi, menjejaskan perkembangan otak dan fungsi kognitif.
- Penyakit pernafasan, disebabkan oleh terhidu habuk yang sarat dengan bahan kimia toksik.
- Keadaan kulit dan gangguan sistem imun, akibat daripada pendedahan jangka panjang.
Penemuan kajian ini menegaskan akan keperluan peraturan global yang lebih kukuh untuk melindungi pekerja, pengguna dan alam sekitar daripada bahan kimia plastik toksik. Tanpa campur tangan segera, risiko kesihatan yang berkaitan dengan kitar semula plastik akan terus meningkat.
Cadangan Utama bagi Pembaharuan oleh IPEN termasuklah:
- Menguatkuasakan Peraturan Global mengenai Bahan Kimia Plastik
- Perjanjian Plastik yang mengikat secara sah perlu mengawal bahan kimia berbahaya dalam plastik sepanjang keseluruhan kitaran hayatnya, daripada pengeluaran hinggalah kepada pelupusannya.
- Melarang Kitar Semula Plastik Beracun
- Plastik yang mengandungi bahan kimia berbahaya sepatutnya tidak boleh dikitar semula, kerana ini hanya akan memanjangkan lagi risiko pendedahan. Sebaliknya, kaedah pelupusan yang selamat seperti teknologi bukan pembakaran perlu diutamakan.
- Hapuskan Penggantian yang Dikesali
- Kerajaan mestilah mengharamkan keseluruhan kumpulan bahan kimia berbahaya, bukan hanya bahan individu, untuk menghalang syarikat daripada menggantikan satu bahan kimia toksik dengan yang lain.
- Pastikan Ketelusan Bahan Kimia Sepenuhnya
- Pengilang plastik sepatutnya dikehendaki mendedahkan semua bahan kimia yang digunakan dalam produk mereka, dan memastikan bahawa maklumat itu tersedia secara umum sepanjang kitaran hayat produk sepenuhnya.
- Lindungi Pekerja daripada Kemudaratan
- Majikan mestilah memenuhi kewajipan mereka untuk melindungi pekerja mereka daripada bahaya daripada bahan kimia plastik, mengutamakan penyingkiran, dan jika ini tidak mungkin, penggantian bahan kimia plastik toksik seperti yang ditetapkan dalam hierarki kawalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
- Kurangkan Pengeluaran Plastik Secara Keseluruhan
- Pengeluaran berlebihan plastik secara langsung meningkatkan pendedahan kepada bahan kimia toksik. Dengan mengurangkan pengeluaran dan penggunaan plastik, pencemaran plastik global dan risiko kesihatannya boleh diminimumkan dengan ketara.
Kajian mengenai pekerja sisa plastik dan kitar semula ini mendedahkan realiti yang amat mengganggu memandangkan pendedahan bahan kimia dalam industri plastik adalah krisis kesihatan awam yang utama. Walaupun pencemaran plastik sering dibincangkan dari segi kerosakan alam sekitar, kesannya terhadap kesihatan manusia adalah sama teruk.
Tanpa tindakan global yang mendesak, penyakit berkaitan plastik dan keadaan kesihatan akan terus meningkat. Kerajaan, industri dan badan kawal selia mestilah bekerjasama untuk mewujudkan peraturan yang lebih ketat, melindungi pekerja, dan memastikan pengeluaran plastik tidak melibatkan kos terhadap kesihatan manusia. Mengurangkan sisa plastik bukan sekadar menyelamatkan alam sekitar tetapi ia juga menyelamatkan nyawa.
RUJUKAN:
Brosché, s., et al. 2024. Plastics Poison the Workplace: Chemical Exposures to Plastic Waste and Recycling Workers. IPEN, Arnika, and EARTH. https://stoppoisonplastic.org/…/plastics-poison-the…/