Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyiasat secara terperinci aktiviti perlombongan haram nadir bumi di Kedah dan Pahang termasuk beberapa buah negeri lain di negara ini.
Mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof baru-baru ini mengenai 60 tapak perlombongan haram nadir bumi dikesan berlaku di beberapa buah negeri, CAP kesal dengan kejadian tersebut kerana pihak berkuasa gagal membenteras masalah ini dengan lebih awal.
Tindakan undang-undang yang tegas perlu diambil ke atas mana-mana pegawai kerajaan atau pemimpin politik yang didapati terlibat dengan akviviti haram ini.
Mengenai kejadian terbaru perlombongan haram nadir bumi yang berlaku di Kampung Sikai, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Pejabat Tanah dan Galian (PTG); dan Jabatan Alam Sekiar (JAS); perlu mengenakan hukuman berat ke atas syarikat terbabit.
CAP percaya kemungkinan jumlah aktiviti haram itu lebih banyak berlaku jika siasatan menyeluruh secara berterusan dilakukan oleh pihak berkuasa berkenaan. Tindakan sedemikian bukan saja boleh merugikan negara dari segi ekonomi tetapi juga ancaman ke atas alam sekitar yang serius.
Menurut Datuk Seri Fadillah, kerajaan akan membangunkan Dasar Mineral Negara dalam tempoh tiga bulan akan datang yang merangkumi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan aktiviti perlombongan khususnya membabitkan nadir bumi.
CAP berharap agar dasar itu juga mengadakan peruntukan yang melarang sebarang aktiviti perlombongan dijalankan di kawasan hutan simpan.
Pihak kementerian turut diminta mendedahkan laporan hasil kajian yang dibuat mengenai perkara ini serta nama 60 tapak perlombongan haram nadir bumi dan negeri yang telah dikenal pasti kepada orang ramai dengan secepat mungkin.
CAP bimbang dan membantah aktiviti ini kerana ia akan mencetuskan cabaran besar bagi mengimbangi sektor ekonomi dan pendapatan negara terutama sekali untuk mempastikan kemampanan alam sekitar dapat dipelihara dan keselamatan serta kesejahteraan hidup rakyat tidak terjejas.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Kenyataan Media, 26 Mei 2023