Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Jabatan Pertanian dan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) menyiasat pencemaran Sungai Bukit Jernih dekat Padang Besar Perlis ketika ini
Masalah yang berpunca dari penggunaan racun dan baja di kawasan sawah berhampiran tempat itu dikhuatiri boleh menjejaskan kesihatan orang ramai jika dibiarkan berterusan.
Mengulas laporan akhbar tempatan ( Utusan Malaysia : 5 Julai 2022 ) mengenai kejadian itu, CAP meminta pihak berkenaan menjalankan ujian ke atas sampel air sungai tersebut bagi mengenal pasti tahap pencemaran yang berlaku.
CAP bimbang kerana masalah ini telah menyebabkan mereka yang mandi manda di sungai itu mengalami gatal badan.
Menurut Presiden Persatuan Rekreasi Bukit Jenih, Azmi Ariffin, sungai tersebut dahulunya jernih kini menjadi keruh dan pengunjung Tapak Warisan Geologi (Geopark) tersebut telah merosot mencecah 80% sejak beberapa bulan lalu.
CAP berpendapat masalah ini jika tidak ditangani segera bukan saja boleh menjejaskan kesihatan orang ramai malah hidupan di dalam sungai ini juga akan pupus.
Memandangkan penggunaan racun dan baja kimia dalam kalangan pesawah ketika ini begitu meluas CAP memandang serius terhadap kejadian yang berlaku kerana ada di antara bahan tersebut mengandungi toksik yang tinggi.
CAP meminta Jabatan Pertanian melakukan siasatan terperinci kemungkinan bahan tersebut diharamkan penggunaannya di negara ini tetapi menjadi pilihan dan amalan segelintir pesawah di kawasan itu.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Kenyataan Media, 6 Julai 2022
Sila hulurkan sumbangan anda di https://consumer.org.my/ms/make-a-donation-malay/