Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) kesal kerana masalah yang berpunca dari aktiviti pembalakan dan projek durian musang king di Gunung Inas Baling gagal ditangani oleh pihak kerajaan sehingga kini sehingga berlakunya bencana banjir lumpur kelmarin.
Sebelum masalah ini berlaku CAP telah beberapa kali menggesa kerajaan Kedah, Jabatan Hutan dan Pejabat Daerah Baling mengambil tindakan bagi mengatasi masalah tersebut namun amat kecewa dengan kejadian terbaharu yang menyebabkan berpuluh ribu penduduk di 11 buah kampung menerima akibatnya.
Dalam kejadian itu bukan saja seluruh kampung tersebut dilanda masalah berkenaan tetapi juga beberapa buah rumah musnah dihanyut air deras dari gunung berkenaan.
Tinjauan CAP sebelum ini mendapati penduduk yang terlibat bukan saja terpaksa menggunakan bekalan air tercemar dengan lumpur dari Gunung Inas tetapi juga terjejas sumber pendapatan kerana banyak tanah pertanian di kampung mereka tidak boleh diusahakan akibat ancaman lumpur.
Sehubungan itu CAP menggesa kerajaan negeri mengambil tindakan segera dan berkesan agar kejadian tersebut tidak berulang.
Selain membantu mangsa yang terlibat dengan masalah ini membina semula rumah mereka serta membayar pampasan yang setimpal dengan kerugian yang dialami akibat kemusnahan harta benda, CAP turut meminta pihak kerajaan memulihkan tanah pertanian yang terancam kerana ia merupakan sumber pendapatan utama penduduk-penduduk di sini.
CAP percaya dan bimbang jika tidak ada tindakan berkesan yang diambil oleh pihak kerajaan penduduk terbabit sudah pasti sentiasa dalam ketakutan terutama pada musim hujan kerana dikhuatiri masalah serupa mungkin berulang.
Justeru itu, CAP meminta kerajaan Kedah mengambil tindakan segera mengatasi masalah ini.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Kenyataan Media, 5 Julai 2022
Sila hulurkan sumbangan anda di https://consumer.org.my/ms/make-a-donation-malay/