CAP dan SAM Menggesa Malaysia Beralih ke Sisa Sifar, Batalkan Cadangan Insinerator Sisa-Kepada-Tenaga

Pegawai CAP dan SAM serta Pelatih menggesa supaya dibatalkan cadangan projek insinerasi sisa kepada tenaga (WTE) di Malaysia dan menggesa supaya beralih kepada sisa sifar.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) telah bersama-sama menyerahkan memorandum bertajuk “Malaysia Mesti Bergerak Ke Arah Sisa Sifar: Bantahan Loji Insinerator Sisa kepada Tenaga” kepada Perdana Menteri, Kementerian serta agensi yang berkaitan pada 14 Ogos 2024. Memorandum ini menggesa pembatalan cadangan pembinaan loji sisa-kepada-tenaga (waste-to-energy: WTE) di Malaysia dan menyeru peralihan kepada Sisa Sifar (Zero Waste).

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengumumkan rancangan untuk membina 18 loji WTE di Malaysia menjelang 2040. Laporan Bernama bertarikh 1 Julai 2024 memetik Menteri KPKT Nga Kor Ming bahawa 18 cadangan loji WTE akan dibina di lokasi-lokasi berikut iaitu Kedah (Jabi dan Padang Cina); Johor (Bukit Payung, Seelong dan Sedili); Pahang (Jabor-Jerangau dan Belenggu); Melaka (Sungai Udang); Kuala Lumpur (Rawang); Selangor (Jeram, Tanjung 12 dan Rawang 2); Pulau Pinang (Pulau Burung); Perak (Lahat, Taiping dan Manjung), Terengganu (Tertak Batu) dan Kelantan (Jedok). Kami menentang sekerasnya cadangan pembinaan loji WTE ini.

Insinerasi WTE menimbulkan risiko alam sekitar dan kesihatan yang ketara kerana ia melepaskan bahan pencemar berbahaya seperti dioksin, furan, logam berat, dan partikel halus. Ia bercanggah dengan prinsip ekonomi kitaran dengan mengabaikan aktiviti kitar semula dan pengkomposan sambil menghasilkan abu berbahaya yang meningkatkan ketoksikan sisa. Selain itu, insinerator WTE tidak boleh dianggap sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui kerana ia bergantung kepada sisa yang tidak boleh diperbaharui, yang menghalang usaha kitar semula dan pemuliharaan sumber. Insinerasi WTE adalah kaedah penjanaan tenaga yang paling mahal dan paling tidak cekap serta melepaskan gas rumah hijau yang menyumbang kepada perubahan iklim.

Pelatih CAP dan SAM menggesa Malaysia supaya membatalkan projek insinerasi dan menggalakkan sisa sifar.

Teknologi insinerator sisa yang baharu didakwa beroperasi dengan lebih bersih dan dengan kesan terhadap alam sekitar yang kurang. Namun begitu, bahan pencemar masih dihasilkan, dengan fasiliti yang dinaik taraf memerlukan servis yang kerap untuk mengekalkan had paras pelepasan. Ada yang menyatakan bahawa teknologi insinerator yang lebih baharu dengan jadual penyelenggaraan yang mantap mungkin kurang berbahaya. Tetapi penyakit daripada pendedahan kepada emisi insinerator cenderung untuk menjadi nyata hanya selepas bertahun-tahun pendedahan kumulatif. Jadi adalah terlalu awal untuk membuat kesimpulan bahawa teknologi baharu ini meningkatkan keselamatan.

Untuk menangani cabaran pengurusan sisa di Malaysia, CAP dan SAM mengesyorkan pendekatan Sisa Sifar, yang menekankan kecekapan, pemulihan, dan pemuliharaan sumber. Strategi ini termasuk pengurangan sisa, pengkomposan, kitar semula, penggunaan semula, pengisian semula, pembaikan, dan perubahan dalam tabiat penggunaan. Menambah baik infrastruktur pengumpulan dan pengasingan sisa, menyokong amalan ekonomi kitaran, dan melaksanakan Tanggungjawab Pengeluar Lanjutan (Extended Producer Responsibility: EPR) adalah langkah penting. Selain itu, melaksanakan program kitar semula sisa elektronik, sistem bayaran balik deposit, dan inisiatif penggunaan semula dan pengisian semula akan menyokong lagi pengurusan sisa yang mampan.

Sebagai kesimpulan, CAP dan SAM menegaskan bahawa insinerator WTE adalah penyelesaian palsu kepada krisis sisa dan tenaga kita, dan kami menggesa kerajaan untuk memberi tumpuan kepada pendekatan Sisa Sifar yang lebih kos efektif, selamat, menjana pekerjaan, melindungi alam sekitar, dan menyumbang kepada komuniti yang berdaya tahan dan mampan.

Memorandum ini boleh dirujuk di: https://consumer.org.my/wp-content/uploads/2024/08/2024-CAP-Memorandum-on-Waste-to-Energy-Incineration_BM.pdf

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)                          

Mageswari Sangaralingam
Setiausaha Kehormat
Sahabat Alam Malaysia (SAM)

Kenyataan Akhbar, 19 Ogos 2024