Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa agar pihak berkuasa yang berkaitan supaya melaksanakan cukai ke atas makanan yang tidak sihat sebagai langkah membendung obesiti dan isu kesihatan yang berkaitan. Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023, rakyat Malaysia menghadapi krisis kesihatan penyakit tidak berjangkit (NCD) dengan lonjakan individu yang berlebihan berat badan dan obes.
Salah satu kebimbangan utama ialah kesan produk makanan dan minuman ultra proses (UPF) terhadap penambahan berat badan dan risiko beberapa NCD seperti diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan kanser. Makanan ultra proses yang tinggi dalam tenaga, gula tambahan, natrium, dan lemak tidak sihat, sementara rendah dalam serat, protein dan mikronutrien.
Sejak beberapa dekad yang lalu, terdapat peralihan yang ketara daripada mengambil makanan lengkap atau yang diproses secara minimum kepada UPF. Peralihan ini didorong oleh perubahan dalam sistem pembuatan dan pengedaran makanan, peningkatan pemasaran UPF, perubahan gaya hidup yang membawa kepada permintaan yang lebih tinggi bagi makanan mudah, dan faktor ekonomi yang menjadikan UPF lebih berpatutan dan mudah diakses.
Salah satu UPF yang paling popular di Malaysia ialah mi segera, yang murah, boleh didapati dalam pelbagai perisa dan bentuk, dan masak dalam beberapa minit. Menurut Persatuan Mi Segera Dunia (WINA), Malaysia menduduki tempat ke-13 dalam penggunaan mi segera global pada 2023, dengan 1,640 juta hidangan.
Analisis penilaian sejawat baharu oleh Imperial College Business School mendedahkan bahawa melaksanakan cukai ke atas makanan yang tinggi kandungan lemak, garam atau gula (HFSS), termasuk UPF, boleh mengurangkan penjualan, pembelian dan pengambilan makanan ini. Ini boleh membawa kepada kadar obesiti dan masalah kesihatan berkaitan diet lain yang lebih rendah, terutamanya apabila digabungkan dengan subsidi bagi makanan yang lebih sihat.
Penilaian itu yang merangkumi penemuan daripada 20 kajian di seluruh dunia (termasuk Mexico, Amerika Syarikat, Kanada, Hungary, Denmark, Belanda, Singapura dan New Zealand), menggariskan potensi global cukai ke atas makanan HFSS. Sehingga kini, 16 negara telah melaksanakan cukai itu.
Di Mexico, cukai 8% ke atas makanan yang tidak penting dan padat tenaga, termasuk gula-gula, coklat, bijirin bergula, kerepek dan snek masin, menghasilkan pengurangan sebanyak 18% dalam jualan pasar raya dan pengurangan sehingga 40% dalam peruncit lain. Kumpulan berpendapatan rendah, yang mengambil lebih banyak makanan yang dikenakan cukai sebelum ini, menunjukkan penurunan terbesar dalam penggunaan.
Berdasarkan senario di atas, CAP menggesa kerajaan supaya melaksanakan cukai ke atas semua jenis makanan yang tidak sihat dan membangunkan rancangan jangka panjang dengan insentif.
Bagi menangani isu berkaitan makanan ultra proses ini, CAP mencadangkan agar inisiatif dasar makanan seperti berikut:
- Melanjutkan cukai gula untuk memasukkan semua makanan tinggi gula, selain minuman manis dan minuman pracampuran.
- Memperkenalkan cukai ke atas makanan ultra proses seperti mi segera, makanan ringan dan produk daging yang diproses.
- Membangunkan dan menguatkuasakan peraturan yang lebih ketat mengenai pelabelan makanan untuk memastikan pengguna dapat mengenal pasti kandungan pemakanan produk yang mereka beli dengan mudah.
- Menyediakan subsidi bagi makanan yang sihat, segar atau diproses secara minimum bagi isi rumah berpendapatan rendah untuk menjadikan pilihan yang lebih sihat itu lebih berpatutan.
- Menjalankan kempen pendidikan dan kesedaran untuk memaklumkan pengguna mengenai bahaya pengambilan makanan ultra proses yang tinggi dan menggalakkan tabiat pemakanan yang sihat.
- Menggalakkan pertanian bandar yang bebas bahan kimia.
- Menggalakkan tabiat pemakanan yang sihat dan menyediakan makanan berkhasiat kepada pelajar.
Sementara itu, pengguna dinasihatkan untuk mengelakkan makanan yang:
- Telah kehilangan serat.
- Mengandungi kuantiti kalori, lemak, gula dan garam yang banyak.
- Mempunyai senarai panjang bahan ramuan seperti pewarna, pengawet dan bahan tambahan lain.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Kenyataan Akhbar, 8 Ogos 2024