Penduduk Island Glades Berusaha untuk Udara Bersih dan Keselamatan

Penduduk Island Glades semasa bantahan pada 5 Ogos 2024 di Taman Kejiranan Karpal Singh.

Pada 5 Ogos 2024, satu perjumpaan komuniti diadakan di Taman Kejiranan Karpal Singh, Island Glades, Pulau Pinang pada pukul 7.00 malam bagi menangani isu-isu mendesak yang berpunca daripada projek pembangunan lebuh raya yang sedang dijalankan berhampiran kawasan perumahan Island Glades. Kerja-kerja pembinaan lebuh raya adalah bagi laluan pintas dari Ayer Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (pakej 2).

Antara kebimbangan utama yang dibangkitkan penduduk di sini ialah pencemaran habuk dan bunyi bising yang teruk dari tapak pembinaan lebuh raya itu. Penduduk mengalami gangguan yang berterusan dan telah membuat banyak aduan. Pembuangan sampah oleh pekerja binaan, dan penggunaan mesin pengisar untuk menghancurkan batu, memburukkan lagi keadaan.

Pencemaran habuk di kawasan perumahan Island Glades dari tapak pembinaan lebuh raya.
Pencemaran habuk di kawasan perumahan Island Glades dari tapak pembinaan lebuh raya.

Debu yang berterusan di udara menyebabkan peningkatan kes kesukaran bernafas, dengan beberapa warga emas melaporkan mengalami batuk yang kronik, bunyi berdehit dan sesak nafas. Isu pernafasan ini amat membimbangkan kerana ia boleh memburukkan lagi keadaan seperti asma, bronkitis, dan penyakit paru-paru kronik lain, yang membawa kepada penurunan ketara dalam kualiti hidup mereka.

Partikel habuk halus daripada aktiviti menghancurkan batu di kawasan terbuka dan kerja pembinaan yang lain juga menyebabkan masalah kulit yang berleluasa dalam kalangan warga emas. Ramai yang melaporkan mereka turut mengalami ruam kulit, kegatalan dan tindak balas alahan lain.

Pengumpulan habuk di atas meja makan penduduk.
Habuk di atas lantai.

Lori dan jentera berat kerap melalui jalan yang kecil di kawasan kediaman, menyebabkan kelewatan lalu lintas yang ketara dan menimbulkan risiko kemalangan. Beberapa lori telah rosak di bahagian cerun, yang sangat berbahaya dan boleh mengakibatkan kemalangan yang serius. Bunyi yang tidak berhenti-henti daripada jentera, penghancuran batu, dan pergerakan kenderaan berat turut mengganggu ketenteraman dan rutin harian masyarakat.

Aktiviti pembinaan juga telah menjejaskan hidupan liar di kawasan itu yang mengakibatkan peningkatan risiko kemasukan haiwan liar seperti ular ke dalam kawasan perumahan. Seorang pesara, Neo Swee Kee, 65, berkata, beliau sering terpaksa membasuh pakaian dan mengelap lantai berkali-kali setiap hari kerana habuk yang berkumpul di atasnya.

Penduduk di Changkat Delima 1 bimbang dengan gegaran yang dialami di rumah mereka semasa letupan batu di tapak pembinaan manakala penduduk dari Lorong Delima 17 pula memaklumkan penutup lori yang membawa batu dan pasir terkoyak dan ini menyebabkan sejumlah besar habuk bertiup kesemuanya ke atas jalan dan rumah.

Habuk memenuhi kenderaan penduduk.

Penduduk juga mengeluh kerana kontraktor tidak menyelesaikan masalah dan kebimbangan yang dibangkitkan oleh mereka. Walaupun banyak panggilan dan aduan dengan bukti yang didokumenkan dikemukakan kepada pihak berkuasa dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tempatan, namun tiada tindakan yang berkesan diambil.

Ketiadaan tindakan itu menambahkan lagi kekecewaan penduduk, memandangkan mereka berasa diabaikan dan tidak disokong oleh pihak berkuasa yang sepatutnya melindungi kepentingan mereka. Pihak kontraktor hanya menangani sementara sahaja isu pencemaran dengan menyiram air di jalan raya dan membersihkan sampah. Walau bagaimanapun, tindakan ini tidak dikekalkan, dan masalah itu muncul semula dengan begitu cepat. Ini menunjukkan pendekatan yang dangkal dan sementara untuk menyelesaikan masalah. Komuniti yang terjejas mahu pihak berkuasa mengambil usaha yang serius untuk mengurangkan isu utama pencemaran dan keselamatan.

Perkara utama yang menjadi perbalahan ialah kerja menghancurkan batu di kawasan terbuka yang dijalankan tanpa sebarang langkah pencegahan untuk meminimumkan pencemaran habuk. Pihak pemaju menyatakan bahawa jentera penghancur tidak boleh dipindahkan kerana memerlukan tanah yang rata. Keengganan untuk mempertimbangkan alternatif ini menunjukkan kurangnya fleksibiliti dan keengganan untuk mengutamakan kesihatan dan kesejahteraan penduduk. Dengan tidak mengambil langkah yang perlu untuk menutup atau mengawal habuk, pemaju memburukkan lagi masalah pencemaran.

Mesin basuh diselaputi habuk tebal. Perkakas rumah lain juga turut terjejas.
Menyiram air untuk mengeluarkan habuk. Tindakan sementara berikutan aduan.

Penduduk di sini juga bimbang dengan ketiadaan penyelia di tapak pembinaan. Mereka bimbang dengan pekerja ini beroperasi tanpa bimbingan dan pemantauan yang sewajarnya, membawa kepada amalan pembinaan yang tidak diselia dan berpotensi tidak selamat bagi  pekerja dan penduduk.

Pihak komuniti juga mencadangkan agar langkah pencegahan untuk menangani isu pencemaran ini. Ia termasuk menempatkan semula mesin penghancur batu itu ke lokasi lain yang lebih sesuai, dan menjalankan ujian integriti dan kestabilan oleh pakar untuk memastikan keselamatan.

Pekerja membersihkan sampah selepas aduan dibuat.

Salah seorang penduduk, GH Khoo, mencadangkan supaya menutup cerun bagi mengekang hakisan dan penyebaran habuk. Beliau juga menekankan keperluan bagi campur tangan oleh Jabatan Alam Sekitar berhubung dengan pencemaran habuk. Selain itu, penduduk juga  menggesa pemantauan dan penguatkuasaan yang lebih ketat oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS), Perbadanan Infrastruktur Pulau Pinang (PIC), dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP). Mereka juga meminta agar kemas kini yang kerap mengenai kemajuan pembinaan, terutamanya mengenai kestabilan cerun dan aliran bawah tanah.

Mereka juga menuntut laporan rasmi mengenai data pemantauan habuk, pendedahan peralatan yang digunakan bagi pengumpulan data, dan rancangan proaktif bagi menangani pencemaran. Kebimbangan yang dibangkitkan oleh penduduk Island Glades menekankan keperluan bagi pemaju dan pihak berkuasa bertindak dengan lebih bertanggungjawab. Selain penduduk di Island Glades, CAP juga turut menerima aduan yang serupa daripada penduduk lain di sepanjang jajaran pintasan itu.