CAP Gesa Hentikan Permit Memburu Buaya Sepanjang Tahun di Sabah

Gambar: Roslan Rahman / AFP

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berasa amat bimbang dengan berita mengenai pengeluaran permit memburu buaya sepanjang tahun di Sabah.

Populasi buaya liar Sabah telah pulih di negeri itu sejak ia dilindungi undang-undang pada tahun 1982. Bagaimanapun, satu rangkaian masalah baharu muncul: peningkatan konflik manusia-buaya. Cabarannya sekarang ialah bagaimana untuk mengekalkan apa yang negeri itu telah berjaya lindungi.  Keadaan menjadi lebih kompleks memandangkan tempat tinggal manusia berada di sepanjang sungai dan pantai.

Semasa tinjauan selama dua tahun dari 2017 hingga 2019, Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHL) mengenal pasti 2,886 buaya di sepuluh sungai berbeza, menunjukkan populasi buaya yang sihat. Tinjauan dijalankan setiap 20 tahun untuk menilai populasi buaya. Walau bagaimanapun, tinjauan yang berselang selama lima tahun akan lebih bermanfaat daripada tempoh 20 tahun pada masa ini, yang dianggap terlalu panjang.

Peningkatan penampakan buaya dan serangan baru-baru ini mencetuskan perdebatan sama ada manusia boleh terus hidup bersama dengan pemangsa puncak ini atau haruskah kita menakaikan populasi buaya.

Menurut data terkini daripada JHL, 77 operasi telah dijalankan antara 4 Januari dan 29 Mei tahun ini, dengan 109 buaya ditembak atau ditangkap. Dalam tempoh masa yang sama, serangan buaya meragut tiga nyawa dan mencederakan tiga yang lain.

Masyarakat tempatan menganggap buaya sebagai ancaman serius kepada nyawa dan mata pencarian. Akibatnya, ramai yang percaya bahawa penghapusan adalah satu-satunya penyelesaian lanjutan daripada kematian yang berlaku. Bagaimanapun, lesen memburu terbuka Sabah untuk mengurangkan konflik buaya-manusia mungkin tidak berkesan. Penakaian sahaja tidak dapat menjamin perlindungan daripada kemungkinan bertemu buaya, terutamanya kerana sungai berfungsi sebagai pengangkutan utama bagi masyarakat. Akibatnya, konflik ini  berkemungkinan akan berterusan apabila buaya bergerak dari muara ke habitat air tawar di pedalaman dan kawasan pantai untuk mencari kawasan baharu.

Buaya juga menghadapi beberapa ancaman, yang paling serius ialah kemusnahan atau perubahan habitatnya. Kemerosotan ekosistem yang disebabkan oleh aktiviti seperti penebangan hutan, penukaran guna tanah bagi pertanian, dan pencemaran, bersama-sama dengan kehabisan sumber makanan akibat peningkatan populasi manusia dan faktor antropogenik lain, mengancam populasi buaya. Malah dengan perubahan sederhana dalam keadaan habitat boleh mendatangkan bencana kepada buaya, yang memerlukan persekitaran yang luas dan pelbagai kerana saiznya yang besar.

Pada masa ini, ketidakpastian dalam memburu buaya menimbulkan keraguan mengenai  bilangan buaya yang dibenarkan setiap pembunuhan, serta kriteria yang digunakan untuk menentukan jenis buaya yang diluluskan untuk dibunuh atau ditangkap. Tambahan pula, kebimbangan wujud mengenai potensi eksploitasi atau penggunaan tidak wajar permit memburu, membolehkan pemburu terlibat dalam usaha mengejar fauna yang terancam dan tergugat dalam kawasan hutan.

Keputusan Jabatan yang membenarkan pemburuan buaya mendapat kritikan daripada peguam untuk hak asasi haiwan. Dalam laporan media pada Februari 2024, peguam-peguam ini mengecam keputusan itu kerana langkah membunuh diambil dan bukannya menangkap dan menempatkan semula buaya yang mengancam nyawa manusia.

Pendekatan menyeluruh perlu merangkumi pelbagai teknik, termasuk penubuhan kawasan perlindungan dan sanktuari hidupan liar di mana buaya boleh hidup tanpa gangguan daripada manusia; pengubahsuaian habitat berhampiran penempatan manusia untuk menghalang buaya daripada bersembunyi atau bersarang; tinjauan rutin dan pemantauan populasi buaya untuk mengumpul maklumat mengenai saiz dan kesihatannya; pemerhatian pergerakan buaya yang kerap ke kawasan berhampiran dengan masyarakat; penempatan penguatkuasa undang-undang untuk mengawal aktiviti manusia berhampiran habitat buaya; penubuhan Pasukan Tindak Balas Pantas untuk bertindak balas dengan cepat terhadap laporan buaya yang tidak mudah dikawal; dan pemindahan buaya dari kawasan konflik yang panas ke kawasan terpencil atau rizab buaya.

Pilihan lain termasuklah menyediakan mata pencarian alternatif kepada masyarakat yang amalan menangkap ikan meletakkan mereka dalam bahaya serangan buaya dan memberi pampasan kepada komuniti yang mengalami kerugian akibat serangan buaya ke atas harta benda atau ternakan.

Program pengurusan tersebut tidak seharusnya menjadi satu penyelesaian yang sesuai untuk semua. Ianya mustahak untuk melibatkan komuniti bagi berkongsi kepercayaan dan amalan budaya positif mengenai buaya, serta belajar daripada pengetahuan orang asli mengenai kewujudan bersama mereka. Penglibatan komuniti adalah penting, termasuk skim pemantauan oleh komuniti, latihan dalam memerhati dan mengendalikan buaya, ceramah pendidikan, dan aktiviti interaktif. Aktiviti seperti ini dikendalikan oleh Yayasan Mabuwaya di Filipina.

Akhir sekali, memahami lokasi buaya di dalam perairan dan mengakui bahawa ia adalah wilayahnya adalah amat penting.  CAP menggesa Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew dan Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk menghentikan permit memburu buaya sepanjang tahun dan mengutamakan penyelidikan untuk mengawal populasi buaya dan menguruskan konflik manusia-buaya dengan berkesan. Tumpuan perlu diberikan kepada mempromosikan pendidikan dan bukannya pembasmian.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Surat Kepada Pengarang, 12 Julai 2024