Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Negeri Kedah memberi perhatian serius serta mengambil tindakan segera membaiki jambatan yang runtuh di Kampung Setol dan Kampung Pauh daerah Yan akibat ancaman kepala air dari Gunung Jerai yang berlaku dua bulan lalu.
Masalah yang melibatkan lebih 500 penduduk di kedua-dua kampung berkenaan bukan saja menjejaskan aktiviti harian mereka tetapi juga menyulitkan para pelajar berulang alik ke sekolah.
Mengulas laporan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 11 Oktober 2021 mengenai perkara itu, CAP berpendapat masalah ini perlu diberi keutamaan kerana ia melibatkan kehidupan harian penduduk terbabit agar selamat dan selesa.
CAP mendapat tahu berikutan bencana kepala air dahsyat yang memusnahkan banyak kemudahan awam, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM75 juta bagi membaiki kerosakan yang berlaku namun hingga kini tidak ada tanda-tanda jambatan runtuh di kampung tersebut hendak dibaiki atau dibina semula.
CAP bimbang dan bersimpati dengan penduduk-penduduk yang terlibat dan jika masalah ini berterusan berbagai kesusahan akan terpaksa mereka hadapi pada masa akan datang.
Justeru CAP meminta Kerajaan Negeri, jabatan dan agensi yang terlibat menyiasat masalah ini dan mengambil tindakan segera bagi menanganinya.
Kenyataan Media, 11 Oktober 2021