Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Kedah, kementerian dan jabatan yang terlibat mengambil tindakan segera bagi memulihkan kemusnahan hutan semulajadi dan kawasan tadahan air yang berlaku di Gunung Inas daerah Baling di sini agar ancaman banjir lumpur yang melibatkan beberapa buah kampung berhampiran tidak berlarutan dan memusnahkan harta benda penduduk dengan lebih banyak pada masa akan datang.
CAP kesal, kejadian yang berlaku pada 4 Julai 2022 lalu itu masih berlarutan hingga sekarang tanpa tindakan berkesan yang diambil walau pun sebelum ini berbagai pihak termasuk Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhamad Sanusi Md Nor sendiri telah turun padang membuat tinjauan serta membantu mangsa yang terlibat. Baru-baru ini ( 28 Julai 2022) kejadian serupa berulang lagi dan menimbulkan rasa cemas dan bimbang kalangan penduduk di sini tentang keselamatan mereka.
CAP percaya jika punca masalah ini tidak ditangani segera bukan saja kediaman, harta benda dan tanah pertanian penduduk akan musnah malah kehilangan nyawa juga mungkin terjadi lagi jika tindakan berkesan tidak diambil oleh pihak berkenaan. Justeru itu CAP berharap tindakan bersepadu dapat dilaksanakan oleh semua pihak kerajaan yang terlibat ke atas punca utama kejadian tersebut disamping menghentikan segera projek penanaman durian musang king di Gunung Inas.
Jabatan Hutan hendaklah segera menanam semula spesies pokok hutan yang sesuai di kawasan terbabit dan seluruh kawasan hutan di Gunung Inas perlu diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK) demi menjaga alam sekitar dan menjamin kesejahteraan hidup penduduk tempatan yang sebelum ini bergantung hidup kepada sumber bekalan air bersih dari gunung tersebut.
CAP berpendapat, selain kerajaan negeri Kedah bertanggungjawab membaikpulih segala kemudahan awam yang rosak dan menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa kejadian ini, syarikat pembalakan dan pengusaha projek durian musang king juga harus membayar gantirugi kepada penduduk-penduduk yang terlibat dengan kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa akibat masalah yang berlaku.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang
Kenyataan Media, 3 Ogos 2022
Sila hulurkan sumbangan anda di https://consumer.org.my/ms/make-a-donation-malay/