CAP gesa Kerajaan Negeri Kedah siasat sumber bekalan air penduduk Baling berselut 

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Kedah dan Jabatan Hutan menyiasat aktiviti pembalakan di kawasan Sera Ular, Baling kerana menjejaskan sumber bekalan air kegunaan lebih 100 penduduk Kampung Tanjung Pari dan Kampung Batu Lapan di sini.

Mengulas laporan akhbar tempatan hari ini (Kosmo, 6 April 2021) CAP kesal walau pun masalah tersebut telah lama berlaku namun hingga sekarang tidak ada tindakan diambil oleh pihak berkenaan bagi mengatasinya.

Aktiviti pembalakan ini telah menyebabkan air takungan dari bukit yang dikenali sebagai bekalan air masyarakat menjadi keruh dan berselut. Keadaan itu telah menimbulkan berbagai kesulitan kepada penduduk-penduduk yang terlibat untuk mandi, membasuh dan memasak sehingga mereka terpaksa menadah air hujan sebagai ganti.

CAP bimbang jika masalah ini berterusan ia boleh menjejaskan kesihatan penduduk-penduduk di kedua-dua buah kampung tersebut.

Selain itu hakisan tanah dari kawasan aktiviti pembalakan di sini juga boleh menyebabkan saliran dan sungai berhampiran menjadi cetek akibat mendapan lumpur serta boleh menimbulkan ancaman banjir kilat pada masa akan datang.

CAP meminta Kerajaan Kedah dan jabatan-jabatan yang terlibat seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menbuat kajian secara menyeluruh masalah ini dan jika terbukti aktiviti tersebut melanggar undang-undang dan mengancam alam sekitar serta kehidupan penduduk tempatan aktiviti ini wajar dihentikan segara.

Pada masa yang sama CAP turut menggesa Syarikat Air Darulaman (SADA) membekalkan air bersih secukupnya kepada penduduk-penduduk kampung yang menghadapi masalah ini untuk keselesaan kehidupan seharian dan menjamin kesihatan mereka tidak terjejas.

 

Kenyataan Media, 6 April 2021