Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk tidak membina kereta kabel yang menghubungkan Taman Kebun Bunga ke puncak Bukit Bendera kerana ia akan membawa kesan serius kepada alam sekitar dan kesihatan kita. Kesejahteraan rakyat dan keutuhan alam sekitar kita tidak harus dikorbankan hanya demi untuk menarik sumber kewangan daripada pelancong.
Penyediaan kereta kabel ini akan membawa kepada pembinaan hotel, restoran, taman tema, rumah dan jalan raya untuk menampung peningkatan bilangan pelancong dan penduduk. Pembangunan sebegini akan memberi kesan buruk kepada persekitaran bukit yang sensitif dan membahayakan keseimbangan ekologi.
Ia pasti akan menyebabkan kehilangan litupan hutan dan pencemaran sungai di atas bukit. Ia juga akan mengakibatkan pengurangan habitat dan akibatnya menyebabkan kepupusan tumbuhan, haiwan, burung, dan serangga yang berharga.
Kesannya juga akan menyebabkan hakisan tanah, kemerosotan pada cerun tanah dan peningkatan tanah runtuh. Pihak berkuasa jelas tidak belajar apa-apa daripada kejadian ribut dan banjir beberapa tahun lalu yang menyebabkan tanah runtuh secara besar-besaran, menumbangkan banyak pokok dan memutuskan perhubungan di atas bukit itu.
Pada masa ini, lebih 5,000 orang mengunjungi bukit dan ini sudah melebihi daya tampung untuk mendukung kehidupan makhluk yang ada di dalamnya yang terhad di bukit tersebut. Peningkatan selanjutnya dalam bilangan pelawat dan penduduk, seperti yang dirancang oleh kerajaan, akan menghasilkan peningkatan yang ketara dalam penggunaan sumber makanan, air, dan tenaga serta pengeluaran sisa.
Sisa boleh menyebabkan kerosakan besar kepada ekosistem bukit. Bukit itu tidak mempunyai kemudahan pembuangan kumbahan dan sisa yang mencukupi untuk mengendalikan sisa yang dihasilkan oleh sejumlah besar pelancong dan penduduk.
Stesen kereta kabel ini akan terletak di tengah-tengah Taman Belia dan Taman Kebun Bunga. Beribu-ribu orang termasuk kanak-kanak, lelaki, wanita dan warga emas mengunjungi dua taman terbuka utama ini untuk bersenam dan untuk menikmati kedamaian dan ketenangan dalam persekitaran hijau.
Kesan penempatan stesen itu akan memburukkan lagi kesesakan lalu lintas di sana dan di kawasan kejiranannya. Pencemaran udara dan bunyi akan mencapai had yang tidak boleh diterima dan merosakkan keseronokan mereka yang mengunjungi Taman Belia dan Taman Kebun Bunga. Bas pelancong dan kereta persendirian akan mengeluarkan gas ekzos berbahaya dan menghasilkan bunyi yang mengganggu persekitaran.
Pembinaan kereta kabel dan aktiviti manusia yang seterusnya di atas bukit dan stesen itu akan menghasilkan sejumlah besar karbon dioksida dan dengan itu meningkatkan lagi jejak karbon kita. Ini jelas sekali melanggar komitmen Malaysia di bawah Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG) bagi mengurangkan jejak karbon.
Pemimpin kita dan ramai lagi pemimpin lain di dunia ini begitu setia dengan model pembangunan ekonomi neoliberal. Mereka dengan membuta tuli mengejar laluan pertumbuhan ekonomi yang membawa kepada kemusnahan alam sekitar dan pemanasan global yang mengancam kelangsungan hidup bumi ini.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Kenyataan Akhbar, 20 Disember 2022