Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) campur tangan bagi mengatasi masalah kelewatan pengedaran benih padi yang dihadapi oleh petani-petani di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) ketika ini.
Mengulas laporan akhbar tempatan hari ini (Berita Harian, 21 April 2021) bertajuk ‘Jelapang Padi Negara Berdepan Masalah Benih’, CAP merasa kesal walau pun masalah itu sudah lama berlaku namun pihak yang diberi tanggungjawab menguruskan keperluan tersebut kepada petani-petani di sini masih gagal dilaksanakan dengan sempurna.
Kelmarin petani-petani MADA yang terlibat dengan masalah tersebut telah mengadakan protes membantah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) kerana gagal membekalkan benih padi kepada mereka walau pun musim penanaman sudah tiba.
Sepatutnya petani-petani di sini memulakan aktiviti itu pada 1 April lalu namun akibat masalah berkenaan lebih 30,000 daripada 57,635 petani di kawasan MADA hingga kini tidak dapat melakukannya.
CAP bimbang jika masalah ini berterusan bukan saja para petani yang terlibat akan terjejas kehidupan mereka tetapi juga boleh menggugat bekalan makanan dan ekonomi negara.
Justeru itu CAP meminta MAFI menubuhkan satu jawatankuasa khas yang dianggotai oleh wakil-wakil Jabatan Pertanian, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Persatuan Petani dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) untuk menyiasat punca masalah ini dan tindakan yang diambil bagi menanganinya.
Jawatankuasa berkenaan perlu mendedahkan kepada orang ramai hasil siasatan yang diperolehi dan tindakan yang diambil terhadap masalah ini.
Tinjauan CAP sebelum ini mendapati petani-petani MADA bukan saja menghadapi masalah kelewatan menerima bekalan benih padi sah tetapi juga bahan itu kerap tidak mencukupi akibat diancam makhluk perosak, kemarau dan banjir.
CAP berharap masalah ini diberi perhatian serius oleh MAFI kerana petani bukan saja menjadi penyumbang utama kepada sumber bekalan makanan untuk rakyat tetapi juga ekonomi negara. CAP menegaskan MADA adalah salah satu jelapang padi negara yang harus dijaga pengeluaran hasilnya agar tidak terjejas.
CAP juga meminta pihak kerajaan menyalurkan bantuan atau memberi pampasan kepada petani-petani yang mengalami kelewatan mengusahakan sawah mereka bagi menampung perbelanjaan berikutan sumber pendapatan mereka yang terjejas kerana masalah ini.
Kenyataan Media, 21 April 2021