CAP Gesa Pencemaran Sungai Marong Ditangani Segera

Nelayan menunjukkan air Sungai Marong yang tercemar. (Gambar Kosmo)

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan mengambil tindakan tegas ke atas pihak yang melakukan pencemaran menyebabkan air Sungai Marong berhampiran Kampung Lakai dekat Jelebu di sini menjadi hitam dan berbuih.

Mengulas laporan akhbar Berita Harian bertarikh 3 April 2026 mengenai kejadian ini, CAP kesal kerana kejadian tersebut turut menyebabkan ikan di dalam sungai berkenaan mati.

Menurut Ketua Daerah Perikanan Jelebu, Mohd Azhar Jusoh, berikutan aduan yang diterima oleh nelayan tempatan mengenai masalah ini, Jabatan Perikanan telah menyiasat aduan tersebut dan mendapati kejadian itu benar berlaku dimana air sungai berkenaan hitam dan berbuih.

Justeru itu CAP meminta JAS menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti pihak yang melakukan pencemaran itu serta mengambil tindakan tegas dengan mengenakan hukuman berat dibawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 ke atas pihak terbabit.

JAS dan Jabatan Perikanan perlu mendedahkan hasil kajian ke atas bangkai ikan dan kualiti air sungai yang diuji kepada umum dengan secepat mungkin dan apakah tindakan yang diambil bagi mengatasinya.

CAP bimbang jika masalah ini berlarutan ia bukan saja menjejaskan sumber pendapatan nelayan tempatan yang bergantung hidup kepada hasil tangkapan di dalam sungai itu tetapi juga kesihatan orang ramai yang mungkin termakan ikan yang mengandungi racun dari sungai berkenaan.

CAP yang bersimpati dengan nelayan-nelayan yang terjejas sumber pendapatan akibat kejadian ini diberi pampasan yang setimpal dengan kemerosotan hasil tangkapan yang mereka alami. CAP berharap kejadian ini tidak berulang kerana ia memberi kesan amat buruk ke atas alam sekitar dan kehidupan rakyat.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Kenyataan Media, 6 April 2026