Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perlis mengambil tindakan tegas ke atas kilang yang dikesan mencemarkan air Sungai Ngulang menyebabkan ratusan ikan di dalam sungai itu mati.
Masalah tersebut didakwa berlaku oleh penduduk tempatan berpunca dari pelepasan sisa loji pengolahan efluen dari kilang di Bukit Keteri yang jaraknya sekitar lima kilometer dari sungai berkenaan.
Seorang penduduk, Mohd Azrif Md Amin, 29, berkata, sejak awal pagi kelihatan ikan mati terapung dan keadaan bertambah buruk selepas itu di mana air sungai ini berubah menjadi hitam. (Laporan Utusan Malaysia – 8 Mei 2022)
Sungai Ngulang bukan saja menjadi tempat orang ramai memancing berbagai jenis ikan air tawar tetapi juga untuk mandi manda dan mengairi sawah di negeri itu.
CAP kesal walau pun kejadian yang menyebabkan air sungai tersebut bertukar warna menjadi hitam pernah dilaporkan berlaku sebelum ini dan air yang tercemar telah diambil untuk diuji namun masalah ini masih juga berulang.
Justeru itu CAP meminta JAS, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) menyiasat secara menyeluruh punca masalah ini dan mendedahkan kepada umum tindakan undang-undang yang diambil ke atas pihak yang didapati terlibat mencemarkan sungai ini.
Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 perlu dikuatkuasakan dengan tegas dan hukuman yang setimpal wajar dikenakan ke atas pihak terbabit.
CAP percaya dan bimbang jika pencemaran itu berterusan Sungai Ngulang akan mengalami pencemaran yang lebih serius lagi pada masa akan datang dan menjejaskan pembiakan pelbagai jenis ikan di dalamnya termasuk aktiviti persawahan oleh para petani di sini.
MOHIDEEN ABDUL KADER
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Kenyataan Media, 9 Mei 2022
Sila hulurkan sumbangan anda di https://consumer.org.my/ms/make-a-donation-malay/