CAP gesa Projek Kuari di Bukit Lagong dibatalkan

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Selangor membatalkan kelulusan projek kuari di Hutan Simpan Bukit Lagong kerana ia mengancam alam sekitar dan kehidupan 500 Orang Asli di kawasan itu.

Projek tersebut yang diluluskan pada 2018 dan 2019 melibatkan kawasan seluas 800.50 hektar untuk operasi 19 kuari baharu telah dibantah penduduk tempatan kerana aktiviti kuari sebelum ini terbukti memberi kesan buruk ke atas kehidupan mereka.

Selain dibimbangi berlakunya kejadian banjir kilat dan memusnahkan harta benda penduduk pada masa akan datang, CAP percaya hutan semula jadi di kawasan itu dan sumber pendapatan Orang Asli di sini akan teruk terjejas.

CAP kesal walau pun masyarakat Orang Asli di sini telah 30 tahun ditimpa berbagai musibah akibat operasi kuari sebelum ini namun pihak kerajaan tidak mempedulikan nasib mereka dan membuat keputusan dengan sewenang-wenangnya mengenai projek itu.

Justeru, CAP meminta Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Hutan, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Orang Asli (JOA) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) campurtangan dan memberi penjelasan kepada orang ramai terutama penduduk tempatan mengenai perkara ini.

CAP berpendapat, pampasan yang setimpal perlu dibayar kepada masyarakat Orang Asli di sini yang terjejas kehidupan dan sumber pendapatan mereka akibat operasi aktiviti kuari sebelum ini. Mana-mana syarikat kuari yang dikesan melanggar peraturan dan mencetuskan ancaman ke atas alam sekitar wajar diambil tindakan menghentikan operasi.

Manakala sungai-sungai yang tercemar pula perlu dibersihkan agar sumber bekalan air untuk masyarakat Orang Asli di sini selamat digunakan. CAP menegaskan, jika projek kuari di Hutan Simpan Bukit Lagong ini diteruskan pencemaran udara yang serius akan berlaku dan boleh menjejaskan kesihatan serta tanaman mereka pada masa akan datang.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden 
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Kenyataan Media, 11 November 2022