Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa agar pihak berkuasa menubuhkan satu jawatankuasa pakar, termasuk wakil masyarakat sivil, untuk mengkaji punca masalah banjir yang berterusan dan membuat cadangan untuk memperbaikinya.
Menurut Laporan Khas Kesan Banjir di Malaysia 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, dianggarkan Malaysia mencatatkan jumlah kerugian berjumlah RM933.4 juta pada 2024 akibat banjir. Kerugian dalam sektor pertanian meningkat kepada RM185.2 juta daripada RM120.6 juta pada 2023.
Banjir yang semakin merebak ke seluruh negara dan melibatkan negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu dan Selangor, tidak seharusnya dikaitkan semata-mata dengan peningkatan hujan lebat. Kita mestilah mengambil pendekatan holistik untuk mengkaji semua puncanya. Hujan adalah fenomena biasa pada setiap tahun, tetapi bagaimana kita menanganinya? Banjir bukan sahaja mengakibatkan kehilangan nyawa, kerosakan harta benda dan kemusnahan hasil pertanian tetapi juga memberi kesan besar kepada ekonomi negara.
Pembangunan bandar yang pesat tanpa perancangan jangka panjang merupakan antara punca utama banjir. Peluasan kawasan permukaan yang tidak telap, ditambah dengan longkang sempit yang tidak dapat menampung sejumlah besar air hujan, adalah punca banjir di bandar yang tidak berkesudahan.
Penggantian kawasan hijau semula jadi seperti bukit, dataran banjir dan pokok-pokok yang bertindak sebagai penyerap air, bersama dengan penebangan hutan dan pembangunan kawasan bukit, memburukkan lagi masalah banjir yang melanda negara.
Penebangan hutan membawa kepada hakisan tanah dan tanah runtuh, yang meningkatkan beban sedimen dalam larian air permukaan, yang membawa kepada pengumpulan larian di kawasan hilir. Sungai menjadi cetek akibat pemendapan dan keupayaannya untuk mengeluarkan air hujan berkurangan.
Pembuangan sampah yang tidak bertanggungjawab juga menyebabkan longkang tersumbat, mengakibatkan banjir.
Ini bukanlah bencana banjir terakhir yang melanda negara. Malah, ramai penduduk bimbang apa yang akan berlaku kepada rumah dan persekitaran mereka apabila hujan turun.
Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil untuk memastikan kesan banjir tahunan ini tidak terlalu teruk, dengan semua pihak yang berkaitan perlu memastikan pembangunan dikawal melalui perancangan yang betul.
Penilaian kesan alam sekitar, saliran, pengangkutan dan sosial perlu dijalankan bagi setiap projek. Syarat-syarat yang lebih ketat mestilah dikenakan bagi melindungi cerun dan tanah berbukit daripada pembangunan sembarangan.
Pemantauan yang lebih ketat terhadap projek pembangunan dan menghijaukan lebih banyak ruang bandar, termasuk sistem taman, hutan bandar dan perlindungan tebing sungai, diperlukan untuk mengelakkan hakisan. Pencegahan banjir juga perlu diutamakan dalam setiap rancangan pembangunan.
Walaupun kita tidak dapat menghentikan hujan, banjir yang berlaku boleh dicegah atau dikurangkan kemusnahan jika puncanya ditangani.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Surat Kepada Pengarang, 1 Disember 2025


